Suspek kes culik guna Vellfire putih akhirnya ditahan polis


  • 112
  • Isnin, 03 Okt 2022

Tangkap layar yang memaparkan sekumpulan lelaki menculik seorang ahli perniagaan di sekitar Pandan Indah, Ampang pada Khamis.

POLIS berjaya menahan dua lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kes culik seorang lelaki dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire di hadapan sebuah restoran sekitar Pandan Indah, Ampang pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kedua-dua suspek berjaya ditahan pukul 3 petang di Jalan Putra Sulaiman, Taman Dagang, Ampang pada Ahad.

"Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek berusia 37 dan 40 tahun yang bekerja sebagai pekerja kilang serta penjual sayur.

"Suspek berusia 40 tahun itu mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah manakala suspek berusia 37 tahun mempunyai lapan rekod lampau atas kesalahan sama," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

New IPD Ampang Jaya chief ACP Mohamad Farouk Eshak. — SAMUEL ONG/ The Star.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak.

Mohamad Farouk berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.

"Polis turut merampas pakaian, telefon bimbit dan MPV jenis Toyota Vellfire yang digunakan untuk menculik mangsa.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan salah," jelasnya.

1757920

Kenderaan yang digunakan suspek untuk menculik mangsa.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi satu minit empat saat yang memaparkan sekumpulan penunggang motosikal mengejar sebuah kenderaan Toyota Vellfire putih yang disyaki menculik seorang lelaki di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang pada Khamis.

Bagaimanapun, mangsa dipercayai dilepaskan di sekitar Klang pada hari sama diculik sebelum hadir sendiri ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk membuat laporan.

Difahamkan, mangsa mengalami beberapa kecederaan luka di kaki serta muka akibat kejadian dan telah mendapat rawatan di Hospital Ampang.

Punca kejadian adalah disebabkan masalah hutang antara mangsa yang juga seorang ahli perniagaan berusia 48 tahun dengan pihak majikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram