LAMBAKAN 'kedai Aceh' terutamanya di kawasan perumahan ibarat sudah menjadi sesuatu yang normal dalam negara.
Malah, perkatan 'kedai Aceh' itu sendiri ibarat sudah menjadi satu francais perniagaan yang dihalalkan walaupun perniagaan itu dijalankan secara haram.
Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syahrin Hamidon berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut.
"Memang lambakan 'kedai Aceh' selalu menjadi perkara utama yang dibangkitkan kerana kita tidak boleh menafikan, kehadiran mereka mengganggu usahawan kita.
Kedai Aceh wujud bukan sahaja di Lembah Klang, tetapi juga di negeri lain.
"Apa yang berlaku ini menunjukkan penguatkuasaan yang terlalu lemah. Sebab kita kena tahu mereka ini datang dari mana.
"Bagaimana orang dari luar yang datang ke sini tanpa kita tahu bagaimana dia masuk boleh membuka perniagaan," katanya.
Syahrin berkata demikian selepas Kejohanan Golf Piala YDP DPMM Putrajaya di Kelab Golf Danau, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor pada Rabu.
Mengulas lanjut mengenai kehadiran peniaga Aceh itu, jelas Syahrin, usahawan juga perlu melihat lambakan mereka secara sudut positif.
"Kalau kita lihat secara negatif, maka negatiflah hasilnya. Tetapi, kalau kita lihat secara positif, ini menunjukkan yang usahawan atau peniaga tempatan kena bangkit.
"Macam mana mereka yang datang dari luar dan menghasilkan perniagaan bersama-sama seperti ada satu konsortium.
"Jika mereka boleh membuat perkara itu, maka kita juga sebenarnya boleh buat lebih daripada itu apatah lagi kelebihan ada pada kita," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram