Rogol anak tiri usia 13 tahun, deejay kampung berdepan hukuman 10 sebatan


Tertuduh (kanan) didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 sebatan. — Astro Awani

SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen, Sungai Petani, Kedah pada Khamis kerana merogol anak tiri berusia 13 tahun, dua minggu lalu.

Tertuduh yang bekerja sebagai seorang deejay kampung didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 sebatan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak tiri dalam sebuah bilik di Kampung Sungai Daun Tengah, Yan, Kedah pada pukul 11 malam, 14 September lalu.

Tertuduh yang berusia 39 tahun itu, bagaimanapun, tidak mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadly Hassan manakala tertuduh diwakili peguam Nur Izzatul Amirah Zawawi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tidak mendekati atau mengganggu mangsa.

Mahkamah juga menetapkan 15 November depan sebagai sebutan semula kes. — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram