KOMPLEKS sukan baharu dinamakan ‘Seriemas Sportsplex’ di Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan yang bakal menampilkan dua padang bola sepak bersaiz penuh dijadual siap menjelang suku pertama 2023.
Bahkan projek yang bakal memiliki tiga padang futsal itu akan menyediakan sistem pencahayaan pintar automatik sepenuhnya.
Tambahan lagi, padang bola sepak juga turut menggunakan rumput tiruan yang diiktiraf FIFA Quality Pro kerana ciri-ciri rumputnya yang sangat lembut, tahan lama dan rintangan haus yang mana ia sangat sesuai dengan keadaan cuaca di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, PNB Development Sdn. Bhd., Megat Rozlan Abdul Rahman berkata, pembangunan Seriemas Sportsplex akan memberi pulangan bukan hanya dari segi kewangan tetapi juga kepada pulangan manfaat sosial kepada penduduk setempat.
Beliau berkata, ini juga secara tidak langsung akan membantu menjayakan agenda pembangunan bola sepak negara.
"Usaha ini selari dengan pengumuman oleh Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB untuk mengintegrasikan aspek Kelestarian, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) ke dalam pelaburan dan perniagaannya," katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah Seriemas Sportsplex di Kota Seriemas pada Khamis.
Hamidin (tiga kiri) melihat pelan pembangunan Seriemas Sportsplex pada majlis pecah tanah kompleks sukan itu di Kota Seriemas, pada Khamis.
Pada majlis itu, acara perasmian pecah tanah disempurnakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin dan turut disaksikan Presiden Liga Bola Sepak Malaysia, Datuk Ab Ghani Hassan.
Mengulas lanjut, Megat Rozlan berkata, cetusan idea pembangunan Seriemas Sportsplex yang melihat kepada trend gaya hidup sihat di negara ini, antara lain bertujuan membina komuniti yang bertenaga (vibrant community) selain memikat bakal pembeli dengan cadangan gaya hidup dan tawaran nilai tersedia (value proposition).
Di samping itu, pembangunan tersebut juga adalah sebahagian daripada inisiatif penjanaan semula perbandaran (township regeneration) bagi memperkukuhkan kerancakan pembangunan di Kota Seriemas yang mana dijangkakan dapat menarik minat pelabur untuk sama-sama membangunkan plot perumahan dan komersial di lokasi berkenaan.
"PNB Development dan RS Greenmaster juga komited menawarkan secara percuma kemudahan padang itu kepada FAM dan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan bagi kegunaan tempat latihan, perlawanan persahabatan dan kursus teknikal," tambahnya.
Hamidin (depan) meninjau lokasi pembangunan Seriemas Sportsplex di Kota Seriemas pada Khamis.
Sehingga kini, hanya beberapa padang bola sepak berumput tiruan di Malaysia yang mendapat pengiktirafan oleh FIFA, namun kesemuanya adalah fasiliti kerajaan.
Seriemas Sportsplex adalah kerjasama PNB Development Sdn. Bhd. dengan RS Greenmaster (M) Sdn. Bhd. Projek padang bola berumput tiruan itu adalah yang pertama seumpamanya yang akan mendapat pengiktirafan FIFA.
Ini akan menyaksikan ia sesuai menjadi venue atau tempat bermain pasukan bola sepak sosial sehinggalah pasukan bola sepak antarabangsa.
Selain itu, lokasinya yang berdekatan dengan dengan Lembah Klang dan juga pintu masuk negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal memberi satu kelebihan.
Pada 15 Julai 2022, PNB Development Sdn. Berhad, pemaju induk perbandaran Kota Seriemas melalui siaran akhbar menjemput mana-mana pelabur dan pemaju hartanah untuk pengemukaan cadangan (Request for Proposal) bagi menerokai peluang pembangunan di Kota Seriemas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram