[VIDEO] Remaja pengsan, hampir mati dicekik rakan sekolah


  • Tular
  • Khamis, 29 Sep 2022

Tangkap layar video mangsa bergelut untuk melepaskan diri sebelum rebah dan terbaring di atas jalan.

DUA orang remaja lelaki terlibat dalam satu insiden pergaduhan sehingga menyebabkan salah seorang daripada mereka pengsan akibat dicekik oleh suspek dalam kejadian yang dipercayai berlaku di SS2, Petaling Jaya, Selangor.

Perkongsian video yang dimuat naik oleh Dev Kumar di Facebook pada Isnin, menunjukkan suspek bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati apabila ditendang oleh mangsa.

Ketika kejadian, mangsa dilihat sedang bergelut untuk melepaskan diri namun suspek tidak mengendahkan dan meneruskan perbuatannya itu.

Berdasarkan video berdurasi 25 saat itu, mangsa dengan secara tiba-tiba rebah dan terbaring di atas jalan selepas beberapa saat cuba melepaskan diri.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan pelajar sekolah mana yang terlibat dalam kejadian itu.

Malah tarikh kejadian juga tidak dinyatakan tetapi difahamkan video tersebut merupakan kejadian yang sudah lama berlaku.

Tinjauan Majoriti di ruangan komen mendapati, rata-rata orang ramai berang dengan tindakan remaja lelaki terbabit yang tidak berfikir panjang dan boleh menyebabkan kematian.

"Budak itu buat tak fikir panjang, kalau mangsa itu mati tak pasal-pasal meringkuk dalam penjara," kata Ubaidullah Hamid.

"Apa perasaan ibu bapa mereka selepas tengok video itu, budak-budak sekolah macam ini tak fikir panjang betul," ujar Noor Ahmad.

"Dah separuh mati budak lelaki itu cekik kawan dia, lain kali kalau nak buat benda-benda macam ini fikirlah mak ayah dekat rumah," luah Awang Aiman.

Belum ada sebarang kenyataan pihak berkuasa berhubung kejadian itu setakat ini dan Majoriti cuba mendapatkan pengesahan sama ada video tersebut baru berlaku atau video lama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram