POLIS menahan 14 individu termasuk seorang warga emas bagi membantu siasatan berhubung kes pemerasan membabitkan ugutan penyebaran video bogel melalui media sosial yang melibatkan keseluruhan kerugian RM306,101.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemuanya yang berusia 23 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi khas oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang bermula 16 hingga 19 September lepas.
"Semua 10 lelaki dan empat wanita itu ditahan di sekitar Johor, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Siasatan mendapati modus operandi adalah membenarkan akaun bank milik mereka digunakan oleh sindiket tersebut.
"Wang penipuan akan dimasukkan oleh mangsa ke akaun mereka sebelum diserahkan kepada sindiket... ia berbeza dengan keldai akaun yang menyerahkan kad bank kepada scammer (sindiket penipuan)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada Khamis.
Beliau berkata susulan penahanan mereka yang terdiri daripada pekerja swasta, pelajar, penganggur dan suri rumah, polis merampas 13 telefon bimbit pelbagai jenama, lapan kad ATM dan sebuah buku bank.
Mohd Shuhaily berkata dengan penahanan 14 individu itu, pihaknya berjaya menyelesaikan 12 kes di Pulau Pinang dan 27 di Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pahang serta Sarawak sekali gus percaya lebih ramai individu akan ditahan termasuk rangkaian sindiket dalam masa terdekat.
Beliau berkata sejak Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 76 laporan polis diterima di seluruh Pulau Pinang melibatkan sindiket tersebut yang membabitkan keseluruhan kerugian bernilai RM306,101 dengan kerugian paling tinggi sebanyak RM69,000.
Dalam perkembangan lain, Mohd Shuhaily memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu melibatkan kejadian samun.
Menurutnya sejak Januari hingga bulan ini, pihaknya menerima 282 laporan berkaitan samun daripada individu berusia 20 hingga 60 tahun dengan 82 daripadanya didapati laporan palsu.
"Laporan palsu itu melibatkan 52 kes hilang kad pengenalan, salah guna wang (10), tuntutan insurans dan perselisihan faham keluarga (lima), hilang pasport atau kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian (empat), mengelak dari membayar hutang (tiga) manakala cemburu, fitnah dan ponteng kerja masing-masing satu kes," katanya.
Mohd Shuhaily berkata individu yang membuat laporan palsu itu disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram