Angkara gambar lucah, pilot ugut nak patah balik


  • Benua
  • Khamis, 01 Sep 2022

Salah guna sistem iPhone AirDrop ketika penerbangan boleh dikaitkan dengan kesalahan jenayah. — Gambar hiasan/Agensi

TINDAKAN seorang penumpang yang menyebarkan gambar bogel menerusi sistem perkongsian fail iPhone AirDrop, mengundang padah apabila juruterbang pesawat Southwest Airlines mengugut untuk berpatah balik disebabkan insiden itu.

Memetik laporan Forbes, jurutebang terbabit meminta penumpang yang dalam perjalanan ke Cubo San Lucas, Mexico untuk menghentikan tindakan mereka daripada berkongsikan gambar lucah tersebut.

“Sekiranya perkara begini berterusan saya akan meminta anda semua untuk keluar daripada pesawat dan penerbangan ini perlu melalui proses pemeriksaan pegawai keselamatan.

“jika anda ingin meneruskan semula perjalanan ke Cubo, lebih baik jangan lakukan lagi,” katanya.

Kejadian itu bukanlah yang pertama berlaku kerana sebelum ini sembilan individu ditahan di Lapangan Terbang Ben Gurion, Tel Aviv, Israel selepas berkongsikan gambar pesawat terhempas menerusi sistem yang sama.

Dalam kejadian lain, penumpang pesawat United Airlines terpaksa mengosongkan pesawat selepas beberapa penumpang menerima gambar sepucuk pistol menerusi iPhone AirDrop mereka.

Sejak diperkenalkan pada 2011, sistem AirDrop telah membenar pengguna untuk berkongsi sebarang foto, video atau audio menggunakan Bluetooth dan Wi-Fi pada jarak 30 kaki. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram