
SATU acara yang melibatkan penari transgender berpakaian bikini dan bunga api dianjurkan berhampiran pangsapuri I-City sedang disiasat oleh polis susulan aduan orang ramai.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Iqbal Ibrahim berkata, aduan itu dibuat oleh pengurusan JMB I-Soho I-City Shah Alam susulan video kejadian yang dirakam dari tingkat atas bangunan itu.
“Laporan itu menyatakan penari dan pertunjukan bunga api di dewan Unit B-UG-12 telah merosakkan reputasi I-City yang menjadi destinasi pelancongan.
“Siasatan menunjukkan acara itu diadakan pada 27 Mei 2022 dari pukul 8 malam hingga 11.30 malam dan kelihatan sekumpulan penari transgender menari diiringi muzik kuat dalam keadaan separuh bogel.
“Pertunjukan bunga api itu juga diadakan di kawasan lapang berhampiran kediaman,” katanya.
Pihak penganjur yang menggunakan nama "Cik Lala" menyewa unit itu dengan kos RM4,000 bagi tujuan sambutan Hari Raya yang dihadiri kira-kira 50 orang.
“Siasatan menunjukkan penari dan bunga api itu dibawa tanggungjawab penganjur,” katanya sambil menambah penganjur ditahan pada 29 Mei 2022 dan kini direman sehingga Selasa.
Polis juga sedang dalam usaha mengenal pasti suspek lain dan tangkapan lanjut akan dibuat. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram