TULAR seorang lelaki dalam keadaan separuh bogel mengganggu ketenteraman orang awam pada Selasa.
Dalam video yang dimuat naik halaman Facebook JB 吹水站, menunjukkan suspek yang sekadar berseluar dalam merah itu menendang dan memukul kenderaan yang lalu lalang di jalan raya tersebut.
Menerusi video berdurasi satu minit 17 saat itu, lelaki yang mempunyai tatu di dada dan lengan itu juga menunjukkan lagak samseng memaki hamun pengguna jalan raya yang lain.
Suspek kelihatan mundar-mandir di jalan raya sebelum bertindak menjerit kepada beberapa pemandu yang melalui jalan tersebut.
Pada masa yang sama, suspek dengan beraninya cuba menahan sebuah trak pikap dan cuba memanjat bonet kenderaan tersebut.
Pemandu itu kemudiannya bertindak memberhentikan kereta dan mengundurkan kenderaan untuk mengelak insiden buruk berlaku.
Namun, suspek cuba membuat provokasi dengan menyandarkan kepala dan badannya pada bonet kereta itu.
Suspek juga bertindak dengan drastik dengan cuba memasuki pintu kiri sebuah kereta Perodua Bezza namun gagal apabila kereta tersebut memecut ke sebelah kanan jalan.
Dia juga dilihat menjerit memarahi pemandu tersebut.
Turut kelihatan pengguna jalan raya yang lain cuba mengelak dari menggunakan sebelah kanan jalan berkenaan kerana bimbang dicederakan.
Tidak dapat dipastikan lokasi dan bila kejadian tersebut berlaku.
Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram