SEORANG lagi wanita dilaporkan terkorban susulan tindakan kekerasan pihak berkuasa Iran bagi menangani protes antikerajaan yang tercetus disebabkan kematian Mahsa Amini.
Difahamkan, insiden tersebut berlaku disebabkan rasa tidak puas hati golongan kaum hawa terhadap kematian Amini, wanita Kurdish berusia 22 tahun yang meninggal dunia kerana dipukul polis gara-gara tidak memakai tudung dengan betul.
Mangsa terkini yang dikenali sebagai Hadees Najafi sebelum ini menjadi tular ekoran satu rakaman videonya mengikat rambut sebelum menyertai protes antikerajaan berkenaan.
Memetik laporan portal Alarabiya News, Najafi yang berusia 23 tahun itu ditembak mati enam kali oleh pasukan keselamatan dalam insiden di Karaj pada Rabu lalu dan disahkan meninggal dunia apabila dibawa ke Hospital Ghaem.
Sementara itu, keluarga wanita tersebut turut berkongsi rakaman pengebumiannya secara umum pada Ahad.
Sekurang-kurangnya 41 orang yang melibatkan penunjuk perasaan dan seorang anggota pasukan keselamatan terbunuh semasa demonstrasi berkenaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram