[VIDEO] Selamba rembat parcel jiran, penyangak pakai baju politik dirakam CCTV


  • Tular
  • Isnin, 19 Sep 2022

Suspek dilihat mundar-mandir dalam keadaan yang mencurigakan, sambil memerhati luar kawasan setiap kediaman di kawasan perumahan itu.

TULAR sebuah rakaman video seorang lelaki mencuri bungkusan (parcel) di kawasan perumahan di Cheras Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Video yang dikongsikan oleh individu bernama Ann Rain dalam aplikasi Telegram Info Update memaparkan gelagat seorang lelaki mengambil bungkusan dari sebuah rumah.

Ann Rain dalam mesej di Telegram itu turut menasihati penduduk di sekitar taman berkenaan supaya berhati-hati dengan suspek.

"Kes curi parcel dan lelaki itu dengan selamba ambil barang orang lain di depan rumah.

"Laporan polis bakal menyusul dan gambar dia pun saya bakal tampal di sekitar kawasan perumahan.

"Nak bagi dia famous (terkenal) sebab dah dua, tiga rumah dia masuk dan ambil barang orang.

"Sila berhati-hati dan minta pihak courier (kurier) letak kat dalam rumah di tempat yang tersembunyi jika hantar barang," tulisnya.

Gelagat lelaki berbaju biru itu berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di salah sebuah rumah di kawasan tersebut.

Pada mulanya, suspek dilihat mundar-mandir dalam keadaan yang mencurigakan, sambil memerhati luar kawasan setiap kediaman di kawasan perumahan itu.

Selepas yakin tiada orang di kawasan tersebut, dia terus menarik sebuah kotak di dalam pagar sebuah rumah.

Lelaki itu kemudiannya dilihat segera beredar dari tempat kejadian.

Difahamkan, kejadian tersebut bukanlah kali pertama berlaku, manakala suspek juga dipercayai pernah membuat onar sama sebelum ini berdasarkan maklumat yang dikongsi Ann Rain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram