Elak jamah makanan laut mentah, jangkitan cacing boleh sebabkan komplikasi lemah jantung


  • Sihat
  • Ahad, 25 Sep 2022

Jangkitan anisakiasis boleh menjadi semakin serius jika larva cacing menembusi dinding mukosa usus. — Agensi

MAKANAN laut merupakan antara jenis-jenis makanan yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia.

Selain dimasak dengan pelbagai cara, ada juga sesetengah makanan laut yang kebiasaannya dimakan secara mentah.

Namun begitu, makanan laut yang dimakan tanpa dimasak sebenarnya mempunyai risikonya yang tersendiri.

Selain daripada jangkitan cacing pita, individu yang gemar makan makanan laut secara mentah juga terdedah kepada jangkitan anisakiasis atau cacing bulat.

Dr Khairul

Dr Khairul Idzham berkata larva anisakiasis ini boleh ditemui pada makanan laut seperti udang, sotong dan pelbagai jenis ikan.

Menurut Doktor Residen Poliklinik Dr Azhar & Rakan-Rakan Puncak Alam, Dr Khairul Idzham Abdul Khalid, anisakiasis ialah penyakit sistem penghadaman (sistem gastrointestinal) yang disebabkan oleh jangkitan parasit.

"Ia terjadi apabila individu tersebut memakan makanan laut mentah, tidak dimasak atau separa masak yang mana makanan laut tersebut mengandungi larva cacing anisakiasis.

"Kebiasaannya larva anisakiasis ini boleh ditemui pada makanan laut seperti udang, sotong dan pelbagai jenis ikan," katanya kepada Majoriti.

photo_6158968165023986505_y

Individu yang gemar makan makanan laut secara mentah terdedah kepada jangkitan anisakiasis. — Agensi

Jelas Dr Khairul Idzham, kebiasaanya mereka yang dijangkiti anisakiasis akan menunjukkan simptom-simptom seperti sakit perut, muntah, loya, dan cirit-birit.

"Jangkitan ini boleh menjadi semakin serius jika larva cacing menembusi dinding mukosa usus dan pesakit juga boleh mengalami simptom pendarahan dalam usus.

"Pada masa sama, anisakiasis akan jadi berbahaya jika simptom-simptom di atas tidak ditangani atau dirawat dengan betul sehingga boleh menyebabkan berlakunya komplikasi seperti dehidrasi teruk yang sekali gus boleh menyebabkan pesakit mendapat komplikasi lemah jantung," katanya.

photo_6158968165023986508_y

Anisakiasis jadi berbahaya jika simptom tidak dirawat sekali gus menyebabkan pesakit mendapat komplikasi lemah jantung. — Agensi

Namun begitu, jangkitan anisakiasis boleh dicegah dengan memasak atau membekukan makanan laut pada suhu yang sepatutnya sebelum dimakan.

Kata Dr Khairul Idzham, larva cacing anisakiasis boleh mati apabila berada di tempat bersuhu rendah lebih daripada -20 darjah Celsius selama 24 jam.

Ia juga boleh mati dalam masa beberapa saat jika dipanaskan pada suhu lebih daripada 60 darjah celsius.

"Oleh itu, semua jenis makanan laut perlu disejuk beku pada suhu di bawah -20 darjah Celsius terlebih dahulu atau dimasak atau direbus pada suhu lebih daripada 60 darjah celsius sebelum dimakan.

photo_6158968165023986506_y

Semua jenis makanan laut perlu dimasak atau direbus pada suhu lebih daripada 60 darjah celsius sebelum dimakan. — Agensi

"Harus saya ingatkan, pencegahan terbaik adalah dengan mengelak mengambil makanan laut secara mentah.

"Malah jangkitan anisakiasis kebiasaannya tidak berkesan jika dirawat dengan ubat cacing. Jika dirawat dengan ubat cacing mungkin memerlukan pesakit mengambilnya dalam tempoh yang panjang," katanya. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram