Sampai kiamat Guan Eng takkan kata saya menteri berjaya — Hishammuddin


  • Politik
  • Selasa, 27 Sep 2022

Hishammuddin (tiga dari kiri) bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (empat dari kiri) ketika melawat HAT Tuanku Mizan pada Selasa.

"SAYA harap dia dapat ulang banyak kali. Sampai kiamat pun dia takkan kata saya menteri yang berjaya."

Demikian tegas Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika ditanya berkenaan dakwaan dirinya dianggap sebagai menteri gagal oleh Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Guan Eng sebelum ini menyenaraikan 10 menteri yang disifatkan gagal menjalankan tugas dan meletakkan Hishammuddin di kedudukan pertama.

Menurut Hishammuddin, apa yang dilakukan Guan Eng sebenarnya adalah disebabkan kebimbangan pemimpin itu terhadap dirinya.

"Maknanya dia bimbang. Orang yang tidak endahkan kita, dia takkan cakap orang itu tak buat kerja," katanya.

Hishammuddin berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Selasa.

Terdahulu pada Khamis minggu lepas, Guan Eng dilaporkan meletakkan nama Hishammuddin di tangga pertama kerana Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) itu yang menyelia pembelian kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion.

"Skandal paling keterlaluan ini melibatkan pembayaran RM6 bilion tanpa satu kapal pun siap. Hishammuddin malah telah melancarkan LCS yang tidak lengkap pada 2017 dengan tiang palsu berharga RM400,000 yang kemudiannya dilupuskan," kata Guan Eng dalam kenyataan itu.

Selain Hishammuddin, turut disenaraikan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Selain itu, menteri lain yang disenaraikan ialah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annnuar Musa; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan terakhir, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram