SEORANG lelaki warganegara Jerman ditahan polis kerana melakukan serangan dan cubaan mencuri kenderaan yang dinaiki bersama mangsa.
Ketua Unit Jenayah Polis Buleleng, Indonesia, Hadimastika berkata, kejadian itu berlaku selepas suspek meminta mangsa untuk memotong kenderaan hadapan kerana berasa seperti diekori.
"Permintaan suspek bagaimanapun tidak dipenuhi sebaliknya mangsa hanya menyalakan lampu sebagai tanda isyarat agar kereta di hadapan memecut.
"Selepas perkara itu berlaku mereka meneruskan perjalanan sehingga berhenti di sebuah stesen minyak.
"Ketika berada di stesen minyak, suspek meminta untuk dia memandu, namun permintaan tersebut ditolak," ujarnya ketika mengulas mengenai kejadian yang berlaku di Denpasar, Indonesia itu.
Jelas Hadimastika lagi, akibat permintaannya ditolak, suspek yang berang telah menumbuk muka mangsa.
"Dia kemudiannya merampas kunci kereta dan memandu kereta berkenaan, manakala mangsa ditinggalkan di stesen minyak berkenaan," katanya.
Rakaman pemandu memandu secara berbahaya dalam satu kejadian di Denpasar, Indonesia
Orang awam yang berada berhampiran kawasan berhampiran menyedari mangsa ditinggalkan suspek di stesen minyak dan cuba mengejar suspek menggunakan motosikal.
'Adegan' mengejar kenderaan dipandu suspek itu dirakam oleh salah seorang penunggang motosikal yang menunjukkan warga asing itu memandu dalam keadaan berbahaya dan beberapa kali dilihat memasuki laluan bertentangan.
Dianggarkan sekitar 30 minit pemanduan, suspek kemudian menghentikan kenderaan untuk masuk ke dalam sebuah kedai kosmetik.
Orang awam yang mengekorinya turut masuk ke dalam kedai dan mendekati suspek serta menghalangnya keluar dari premis dengan membaringkan suspek ke lantai sehingga pihak polis tiba.
Polis kemudian menahan suspek dan siasatan lanjut masih dilakukan.
Jika disabit kesalahan melakukan serangan dan membawa lari kenderaan, suspek bakal berdepan hukuman penjara sehingga sembilan tahun di bawah undang-undang Indonesia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram