Nyaris kena 'scam' lebih teruk, pengarah filem dedah pemaju rumah 'Datuk Seri' sering guna dalil Al-Quran


  • Tular
  • Sabtu, 24 Sep 2022

Syarikat terbabit menjadikan penggiat seni sebagai sasaran untuk diperdaya.

ISU penawaran rumah serendah RM10 kepada penggiat seni masih hangat diperkatakan di media sosial sehingga hari ini.

Tidak hairanlah, semakin ramai tampil mendedahkan cara pemaju rumah yang juga seorang wanita bergelar Datuk Seri memperdaya penggiat seni menyertai skim perumahan dengan menyelitkan dalil Al-Quran dalam percakapannya.

Terbaharu, pengarah filem, Murali Abdullah mendedahkan, dia nyaris menjadi mangsa penipuan syarikat yang menawarkan rumah serendah RM10 tersebut.

"Setiap hari saya membaca wujudnya scammer dan saban hari kita diberi amaran mengenai puak-puak jahat ini.

"Penipuan ini melibatkan artis-artis dan pemain industri perfileman. Saya sebelum ini dipujuk seorang rakan untuk menyertai satu skim perumahan.

"Saya dimaklumkan, sekiranya berminat saya harus membayar RM10 sebagai deposit dan dijanjikan rumah berharga antara RM400,000 hingga RM500,000," katanya di Facebook pada Sabtu.

murali

Murali Abdullah mendedahkan tawaran RM10 hanyalah 'dedak' untuk menarik perhatian.

Murali mendakwa, pemaju rumah tersebut dikatakan mahu membantu penggiat seni mendapatkan rumah.

"Saya anggap RM10 itu sebagai sedekah dan jumlah itu hanyalah 'dedak' untuk menarik perhatian sahaja. Rupa-rupanya, syarikat itu akan meminta tambahan RM10,000 untuk menaik taraf kepada rumah bernilai RM1 juta.

"Pemaju ini merupakan seorang wanita bergelar Datuk Seri dan sentiasa menyelitkan dalil-dalil Al-Quran dan hadis dalam percakapan.

"Saya sedar ditipu apabila Datuk Seri ini berkata di dalam Al-Quran ada tertulis orang-orang melayu akan menjadi kaya pada masa akan datang. Di situ saya sedar dan berasakan diri telah tertipu," jelasnya.

Terdahulu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave berkata, dia juga pelik dengan penawaran harga rumah serendah itu.

"Kalau betul-betul nak bantu artis, kita sentiasa alu-alukan. Tetapi kena buat dengan cara yang betul.

"Maksudnya rumah itu kena ada kelulusan dan pengesahan daripada pihak berwajib. Tapi pelik juga bila ada yang mampu menawarkan rumah dengan harga serendah itu," katanya kepada Majoriti.

DJ Dave akui tawaran rumah serendah RM10 kepada artis ibarat tidak logik.

Menurut DJ Dave atau nama sebenarnya, Irwan Shah Abdullah, scammer memang akan mencari artis yang lemah dan tiada rumah sebagai sasaran untuk dibantu.

Disebabkan itu katanya, golongan artis perlu membuat semakan teliti terutamanya melibatkan tawaran yang tidak masuk akal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram