P.Pinang dilanda hujan lebat, rumah mula digenangi air


  • 112
  • Sabtu, 24 Sep 2022

Sebahagian daripada rumah penduduk yang dinaiki air selepas hujan berterusan melanda Pulau Pinang pada Sabtu.

HUJAN lebat yang berlarutan lebih dua jam pada Sabtu pagi menyebabkan banjir di beberapa bahagian di Pulau Pinang.

Antara kawasan yang dilaporkan mengalami banjir ialah Sungai Ara, Bayan Lepas dan Teluk Kumbar.

Seorang penduduk di Sungai Ara yang ingin dikenali sebagai Teh berkata, hujan mula turun dengan lebat kira-kira pukul 7 pagi.

"Setengah jam kemudian, air mula naik deras dari longkang. Seluruh jalan utama dinaiki air tidak lama kemudian. Saya kemudian melihat beberapa kereta tersangkut di sepanjang jalan," katanya.

Laman Facebook Penang Weather Watch juga berkongsi video air banjir naik setinggi lebih satu kaki berhampiran kawasan Bukit Jambul.

Beberapa bahagian lain di pulau itu turut mengalami hujan lebat.

Kawasan Jelutong dan pekan telah mengalami hujan sejak pukul 8 pagi.

Hujan lebat menyebabkan banjir di beberapa kampung di Bayan Lepas antaranya Kampung Masjid, Kampung Manggis, Kampung Perlis, Kampung Binjai dan Kampung Seronok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, peningkatan paras air juga membahayakan rumah yang terletak di tepi Sungai Bayan Lepas.

Jabatan Meteorologi Malaysia memberi amaran ribut petir di beberapa bahagian negara pagi ini termasuk Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Melaka, Johor dan Sabah. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram