Polis sahkan 2 pemandu SUV akibatkan rider maut bebas salah guna dadah


  • 112
  • Sabtu, 24 Sep 2022

Tangkap layar video seorang penghantar makanan maut, manakala seorang penunggang motosikal cedera parah dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan.

PIHAK polis sahkan dua pemandu kereta jenis Nissan X-Trail bebas daripada penyalahgunaan dadah selepas terlibat dalam satu kemalangan yang mengakibatkan seorang penghantar makanan maut pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, polis berjaya menahan dua pemandu terbabit dan menjalankan ujian saringan air kencing ke atas mereka.

"Hasil ujian mendapati dua pemandu berusia 20 dan 24 tahun itu negatif dadah.

"Kedua-dua mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan polis selepas keterangan direkodkan pegawai penyiasat kes," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tambahnya lagi, kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) selepas siasatan lengkap untuk arahan lanjut.

Vijaya Rao berkata, polis juga meminta pemilik rakaman kamera papan pemuka sebuah kenderaan di lokasi kejadian untuk tampil membantu siasatan.

"Pemilik rakaman atau orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Fadli Ismail di talian 017-2141318," ujarnya.

Terdahulu, seorang penghantar makanan maut, manakala seorang penunggang motosikal cedera parah dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Persimpangan Lampu Isyarat, Jalan Meru/Jalan Haji Sirat, Klang, Selangor.

Kejadian tersebut berpunca daripada dua buah Nissan X-Trail terbabas selepas berlaku perlanggaran antara satu sama lain.— Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram