[VIDEO] Tragedi pilu, ibu dan anak berpelukan lepas kena langgar lari pemandu Proton Wira celaka


  • Tular
  • Jumaat, 23 Sep 2022

Tangkap layar pelanggaran yang mengakibatkan ibu dan anak terbabit tercampak ke tengah-tengah jalan raya di Jalan Selayang-Rawang pada Jumaat.

SUASANA tenang di pagi hari bertukar tragedi apabila dua orang penunggang motosikal dipercayai ibu dan anak terlibat dalam satu kemalangan gara-gara sikap pentingkan diri seorang pemandu Proton Wira pada pagi Jumaat.

Kemalangan itu yang berlaku di Jalan Selayang-Rawang, Selangor sempat dirakamkan menerusi kamera papan pemuka atau dashcam sebuah kereta dari arah belakang.

Ketika kejadian, pemandu Proton Wira itu dilihat memandu secara melulu dengan memotong beberapa buah kenderaan sehingga berlakunya pelanggaran tersebut.

Menerusi video terbabit, pelanggaran itu mengakibatkan ibu dan anak tersebut tercampak ke tengah-tengah jalan raya dan lebih menyentuh hati orang ramai apabila tindakan mereka berpelukan sejurus sahaja terlibat dalam kemalangan tersebut.

Berdasarkan video berdurasi satu minit, pengguna jalan raya tersebut segera memberhentikan kenderaan dan menghulurkan bantuan kepada kedua-dua mangsa anak-beranak terbabit.

Tinjaun Majoriti di ruangan komen mendapati rata-rata orang ramai bersimpati dengan keadaan mangsa dan ada juga berasa berang akan tindakan pemandu Proton Wira yang dipercayai melarikan diri.

"Sedihnya tengok anak dia cari mak dia selepas betul-betul kena langgar dengan kereta itu," kata Mohd Hamdi.

"Apa masalah Proton Wira itu? Pagi-pagi jalan memanglah sibuk yang kau nak bawa laju-laju itu kenapa," jelas Is'ya Raihana.

"Semoga dua beranak itu berada dalam keadaan selamat, sedih pula tengok mereka selepas kena langgar macam itu," ujar Nur Alisha.

"Mujur rakyat Malaysia masih prihatin, semua berhenti demi membantu dua orang ahli keluarga itu," tulis Nizam Yahya.

Belum ada sebarang kenyataan pihak berkuasa berhubung kejadian itu setakat ini.

Majoriti sedang berusaha mendapatkan pihak berkuasa berhubung insiden itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram