[VIDEO] Polis buru lelaki lenjan wanita separuh nyawa di Sarawak


  • Tular
  • Jumaat, 23 Sep 2022

Suspek (kiri) kini diburu polis Sarawak gara-gara membelasah teman wanitanya yang juga warga Indonesia.

"TAHU tunjuk berani dengan perempuan sahaja."

Itulah antara komen pengguna media sosial terhadap seorang lelaki yang bertindak mencederakan bekas teman wanitanya di Padawan, Sarawak.

Menerusi video tular di laman media sosial Facebook sejak Khamis, lelaki berkenaan difahamkan berniat untuk mengerjakan bekas teman wanitanya yang dipercayai warga Indonesia cukup-cukup.

Dalam hantaran yang dimuat naik oleh pengguna Facebook, Eyjo Lim itu menunjukkan wanita tersebut mengalami luka lebam di bahagian kepala dan badannya.

Lebih menyayat hati, wanita itu juga dikatakan didera menggunakan sebatang besi sehingga dia terpaksa dirawat di Hospital Umum Sarawak, Kuching, Sarawak.

"Wanita tersebut mengalami luka teruk di kepala, jari kiri hancur, badan banyak luka lebam, wanita tersebut didera guna batang besi.

"Wanita tersebut di rawat di hospital di Kuching, Sarawak, sesiapa yang berjumpa dengan lelaki tersebut tolong kerja sama tangkap langsung serahkan kepada balai polis berdekatan," tulis hantaran itu.

Difahamkan suspek merupakan penduduk dari Bau, Sarawak namun kejadian berkenaan didakwa berlaku di Padawan, Sarawak.

Susulan video yang meraih 2,000 perkongsian itu, pihak polis Padawan tampil memberikan kenyataan.

Berdasarkan laporan dari Sarawak Viral News, polis Padawan sudah menerima laporan dan kini giat memburu suspek yang didakwa mencederakan wanita itu.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mereka sudah menerima laporan dan kini sedang mengesan suspek.

Video mangsa wanita itu meraih pelbagai reaksi simpati dan ada juga yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan suspek berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram