[VIDEO] 'Ini baru hero', pemandu lori tolong pasang kaki palsu OKU tercicir tengah jalan


  • Tular
  • Khamis, 22 Sep 2022

Tangkap layar video seorang pemandu lori memberhentikan kenderaannya untuk menghulurkan bantuan bagi mengambil kaki palsu milik OKU terbabit.

TINDAKAN murni seorang lelaki membantu individu Orang Kelainan Upaya (OKU) yang menunggang motosikal mendapat pujian orang ramai selepas video itu tular di media sosial sejak Rabu.

Menerusi video rakaman dashcam yang dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, menunjukkan keadaan penunggang motosikal OKU yang terpaksa memberhentikan motosikalnya di sebuah jalan raya.

Ketika kejadian, penunggang motosikal terbabit dipercayai keciciran kaki palsunya di tengah jalan sehingga menyebabkan beberapa kenderaan terpaksa memberhentikan kereta masing-masing.

Berdasarkan video berdurasi 25 saat itu, seorang pemandu lori dari arah bertentangan jalan raya itu sanggup memberhentikan kenderaannya untuk menghulurkan bantuan bagi mengambil kaki palsu untuk diserahkan kepada penunggang motosikal terbabit.

Lebih menyentuh hati orang ramai, bukan sahaja dia membantu mengambil kaki palsu itu, malah pemandu lori tersebut turut memasang semula kaki palsu berkenaan kepada penunggang motosikal terbabit.

Difahamkan, kejadian berlaku di Butterworth, Pulau Pinang.

Tinjaun Majoriti di ruangan komen mendapati rata-rata orang ramai memuji tindakan pemandu lori tersebut yang sanggup memberhentikan kenderaan bagi menghulurkan bantuan pada golongan yang memerlukan.

"Buat kebaikan dengan cara yang paling mudah, semoga mendapat balasan yang baik kepada pemandu lori itu," jelas Nazmizam Samsudin.

"Ini baru hero, bukan yang nak redah banjir untuk kempen PRU15," kata Parthiban Ramalingam.

"Malaysia adalah sebuah negara yang indah dan penuh dengan orang yang baik, sanggup menghulurkan bantuan tanpa mengira bangsa dan agama," luah Lam HW. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram