MBSA kena serbu SPRM, Datuk Bandar Shah Alam tak tahu sebab apa


  • 112
  • Sabtu, 24 Sep 2022

SPRM melakukan serbuan di MBSA pada Isnin lalu. — Bernama

DATUK Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor mengesahkan serbuan yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Isnin.

Namun, Zamani tidak mempunyai maklumat terperinci berkenaan serbuan terbabit.

"Dari segi itu (serbuan SPRM), ya memang betul. Tapi kita tidak mempunyai laporan penuh apa sebenarnya isu (yang berlaku).

"Kalau ikut nak kata serbuan atau lawatan itu kena tanya SPRM kerana bila dia masuk, mereka minta fail (dokumen), kita beri kerjasama, kita beri sahaja apa yang mereka nak lihat.

"Kita cuma tunggu sahaja laporan (daripada SPRM), isu apa dan sebagainya kita tidak dapat (gambaran) yang lengkap," katanya.

Dalam pada itu, Zamani berkata, kenyataan daripada pihaknya hanya akan dikeluarkan selepas agensi berkenaan mendapat laporan penuh daripada SPRM.

"Kita tidak akan keluarkan sebarang kenyataan selagi tidak dapat laporan penuh daripada SPRM kerana kita tidak mahu ia memberi impak yang buruk," katanya.

Media sebelum ini melaporkan salah seorang wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang enggan dikenali mengatakan bahawa serbuan yang dibuat oleh oleh SPRM dipercayai mempunyai kaitan dengan projek tebatan banjir. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram