Penang bukan main untuk kalah, cuma belum ada rezeki nak menang — Hafizul Hakim


  • Podium
  • Sabtu, 24 Sep 2022

Hafizul sudah diberikan kepercayaan untuk menjaga gawang sebanyak tujuh kali dalam saingan Liga Super 2022. — Facebook/Penang FC

SELEPAS mengharungi 18 perlawanan Liga Super, pasukan tercorot, Penang FC dibolosi sebanyak 38 kali yang membuktikan kegoyahan benteng pertahanan skuad Harimau Kumbang.

Penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy berkata, komunikasi antara pemain-pemain pertahanan perlu ditambah baik menjelang pertemuan mereka dengan KL City FC pada Sabtu.

Katanya, setelah dibolosi sebanyak 11 kali dalam tujuh perlawanan yang disertai, dia menganggap itu bukanlah satu pencapaian yang terbaik apabila melihat terdapat penambah baikan yang masih boleh dilakukan.

“Bagi saya sudah tentu kita semua rasa tekanan itu apabila tewas sebab kita dah lama tak menang.

“Kami memang mencuba sebaik mungkin dalam setiap perlawanan sebab tiada orang pun turun bermain untuk kalah, cuma belum ada rezeki untuk menang," katanya seperti dilaporkan MFL.

Setakat ini, Penang FC hanya merakamkan satu kemenangan dalam saingan Liga Super dan Hafizul percaya, barisan kejurulatihan serta pemain perlu mencari jalan penyelesaian dengan segera.

“Saya sendiri tidak berpuas hati sebab saya pun tidak banyak bermain dan Khatul (Khatul Anuar) banyak beraksi pada awal musim.

“Jadi apabila dah bolos 11 gol dalam tempoh enam hinga tujuh perlawanan memang bukan prestasi baik untuk saya dan andai diturunkan pada Sabtu ini, saya akan cuba perbaiki lebih baik komunikasi antara pertahanan," jelasnya.

Tambah bekas penjaga gol Perak itu, skuad Harimau Kumbang perlu menamatkan musim 2022 tanpa kehilangan sebarang mata dalam empat baki perlawanan selain masih mengharapkan agar pasukan itu dapat beraksi di pentas Piala Malaysia.

300003006_487064686579670_2776400576578042815_n

Hanya tujuh mata berjaya dikutip Penang FC dalam saingan Liga Super musim ini. — Facebook/Penang FC

“Kami lebih suka untuk layak secara merit ke Piala Malaysia dan harap-harap dengan baki empat perlawanan ini kita akan usaha sebaik mungkin untuk menang.

“Sebenarnya, kalau nak bercakap pasal pasukan, kami pada awalnya memang jangka akan sedikit bergelut apabila ramai tonggak utama Penang musim lepas berhijrah.

“Cuma saya tidak sangka ia akan sampai ke tahap sebegini, tetapi Alhamdulillah motivasi kami semua tetap tinggi untuk terus fokus perlawanan akan datang," tambahnya.

Penang FC mempunyai peluang untuk beraksi dalam kejohanan Piala Malaysia apabila Malaysia Football League (MFL) mengumumkan Melaka United FC tidak akan dibenarkan untuk mengambil bahagian.

Perkara tersebut adalah berikutan isu tunggakan gaji pemain dan staf kejurulatihan yang sepatutnya diselesaikan sebelum 20 September, tetapi tiada tindakan yang diambil pihak atasan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram