SUKAN Malaysia (Sukma) adalah Temasya Sukan yang dianjurkan oleh pihak Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) dengan kerjasama Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Persatuan Sukan Kebangsaan serta Kerajaan Negeri yang terlibat dalam penganjuran temasya sukan remaja secara dwitahunan.
Sukma edisi ke-20 buat julung kalinya pada tahun ini menganjurkan kejohanan sukan e-sports yang dijadualkan bermula Sabtu (17 September) hingga 19 September.
Walaupun kali pertama e-sports dipertandingkan di Sukma, pihak pengurusan Kuala Lumpur Region (KL Region) optimis mampu membawa pulang kilauan pingat emas bagi kejohanan tersebut.
Keyakinan itu disuarakan pengurus pasukan KL Region, Fazli Razak, 32, yang berkongsi keterujaan menguruskan pasukan yang lebih besar dengan menyasarkan dua pingat emas dalam tiga acara yang dipertandingkan.
Barisan atlet e-sports bagi pasukan KL Region.
"Pertama sekali ia satu pengalaman yang menarik untuk menguruskan pasukan dalam skala yang besar berbanding sebelum ini, kami hanya menguruskan pemain FIFA sahaja.
"Dalam kejohanan ini kami menyasarkan dua pingat emas daripada tiga acara yang menawarkan pingat," katanya pada Majoriti.
Tambahnya lagi, setiap kategori yang akan dipertandingkan nanti pasukan KL Region akan sentiasa fokus dan tidak memandang mudah setiap cabaran yang akan ditampilkan pihak lawan.
"Setiap kategori adalah fokus kita, kerana setiap pemain mempunyai kekuatan yang berbeza dan kami percaya, mereka mampu menghasilkan kejutan di kejohanan Sukma nanti.
"Kami melihat setiap kategori mempunyai pencabar yang berbeza namun kami tidak memandang mudah saingan dari semua negeri kerana Sukma kali ini merupakan Sukma pertama yang menampilkan kejohanan e-sports dan sudah tentu semua pasukan akan berikan yang terbaik," jelasnya lagi.
Mobile Legends adalah salah satu permainan yang akan dipertandingkan di Sukma edisi ke-20.
Menurutnya lagi, dia berharap dapat membantu pasukan KL Region mengutip seberapa banyak pingat dan mampu membuka mata orang ramai tentang dunia e-sports.
"Kami berharap untuk mendapat sebanyak pingat yang boleh untuk memberikan impak dan kesedaran kepada komuniti khususnya di Kuala Lumpur bahawa di negeri ini, terdapat banyak pemain-pemain e-sports yang boleh diketengahkan," ujarnya.
Sukma ke-20 berlangsung pada Jumaat bersempena Hari Malaysia yang akan diadakan di Kuala Lumpur.
Bagi kategori e-sports atau e-Sukma 2022 dijadualkan pada 17-19 September dan tiga permainan yang dipertandingkan adalah Mobile Legends, Dota 2 dan PES 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram