[VIDEO] Halang kereta sebelum drama kejar mangsa di pagi buta, polis buru samseng di Cheras


  • Tular
  • Khamis, 22 Sep 2022

Tangkap layar suspek yang memandu kereta jenis Honda City bertindak menghalang mangsa di persimpangan lampu isyarat di Jalan Suakasih, Cheras. .

PIHAK polis sedang mengesan seorang pemandu lelaki disyaki terlibat dalam kes samseng jalanan apabila menghalang dan menakutkan sebuah keluarga dalam kereta di kawasan Bandar Tun Hussein Onn, Cheras pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung video tular di Facebook menunjukkan sebuah kereta jenis Honda City berwarna merah yang dipandu lelaki yang secara tiba-tiba berhenti di hadapan kenderaan mangsa.

Menurutnya, tindakan suspek itu bertujuan menghalang kereta mangsa yang dipandu seorang lelaki bersama keluarganya di persimpangan lampu isyarat berhadapan Econsave, Jalan Suakasih, Cheras di Selangor.

Tambahnya lagi mangsa bertindak mengundurkan kenderaan lalu memecut melarikan diri namun suspek terus mengejarnya.

"Siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali lelaki yang cuba menghalang dan menakutkan mereka.

“Akibat takut, mangsa terus memandu kereta meninggalkan suspek bagi mengelak bertembung semula.

"Suspek kemudiannya menghimpit dan mengejar kereta mangsa supaya berhenti hingga mendatangkan bahaya kepada keluarga mangsa," katanya dalam kenyataan.

Mohd. Zaid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini memaklumkan di balai polis yang berdekatan.

Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhammad Fudhail Zikri di talian 01156566511,” ujarnya.

Sebelum ini tular sebuah video berdurasi tiga minit memaparkan sebuah kenderaan berwarna merah secara tiba-tiba menghalang mangsa dan sebuah keluarga di sebuah lampu isyarat sebelum berlaku kejadian kejar mengejar antara mereka.

Detik-detik cemas itu tular selepas video rakaman kamera papan pemuka dari kenderaan dinaiki mangsa dimuat naik seorang pengguna Facebook pada Isnin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram