'Mat despatch' tergamak curi duit pesakit asma di Hospital Ampang


  • 112
  • Khamis, 15 Sep 2022

Kejadian berlaku di sebuah wad di Hospital Ampang pada Rabu.

TINDAKAN seorang lelaki yang bekerja sebagai 'mat despatch' mencuri dompet milik seorang wanita warga Indonesia di Hospital Ampang, Selangor mengundang padah selepas dia ditahan polis pada Rabu.

Kejadian pada pukul 7 pagi itu menyebabkan mangsa yang berusia 36 tahun kerugian sebanyak RM660 yang dipercayai untuk membayar kos rawatan asma ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Ahmad Farouk Eshak berkata, pihaknya telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun yang bekerja sebagai penghantar barangan.

"Hasil siasatan, suspek dan mangsa merupakan pesakit luar yang ditempatkan di bilik sama ketika mendapatkan rawatan di hospital tersebut.

"Semakan mendapati, suspek tidak mempunyai rekod lampau manakala ujian air kencing mendapati lelaki terbabit negatif dadah. Permohonan reman ke atas suspek telah dibenarkan selama 4 hari bermula hari ini (Khamis) hingga Ahad," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama 10 tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram