Lebih 2,000 produser resah, keputusan perolehan rancangan RTM masih jadi tanya tanya


  • Hiburan
  • Isnin, 19 Sep 2022

Kira-kira 2,000 syarikat masih tertanya-tanya keputusan perolehan rancangan televisyen sejak Jun lalu.

KEPUTUSAN perolehan rancangan televisyen swasta oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) masih menjadi tanya tanya dan menimbulkan kerisauan lebih 2,000 syarikat penerbitan yang hadir dalam sesi pitching pada Jun lalu.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, tahun ini hanya sekali RTM membuat perolehan rancangan swasta dan ini membimbangkan PTVM kerana majoriti ahli bergantung kepada perolehan televisyen di RTM.

"PTVM berharap kerajaan lebih prihatin dalam memastikan peruntukan yang secukupnya diberi kepada RTM bagi memastikan setiap program dapat diterbitkan syarikat tempatan seterusnya membantu perkembangan industri kreatif tempatan.

"Setiap tahun PTVM membangkitkan isu peruntukan perolehan pembelian rancangan TV di RTM dengan memohon Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri memperuntukan bajet yang secukupnya bagi menampung tiga saluran RTM," katanya.

Jelasnya, pada sesi libat urus industri kreatif bersama Timbalan Menteri Kewangan baru-baru ini juga, PTVM telah memberikan cadangan penambahan bajet di RTM dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) serta cadangan ekosistem yang mampu memacu industri kreatif menjadi penyumbang Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

Ujarnya, pihaknya juga berharap Kementerian Komunikasi dan Multimedia memandang serius kepada isu perolehan dengan mempercepatkan pengumuman syarikat yang terpilih.

"Harapan kami, RTM dapat membuat perolehan sebanyak dua kali setahun supaya lebih banyak syarikat dapat peluang untuk terlibat membekalkan program kepada stesen tersebut.

"Kami juga berharap kementerian dapat mengkaji semula sistem perolehan dengan mewujudkan kaedah perolehan yang lebih efektif seperti klasifikasi syarikat A,B dan C seperti yang dilakukan dalam industri pembinaan berdasarkan track record, kemampuan kewangan dan kepakaran syarikat.

"Ini bagi memastikan syarikat yang mendapat perolehan RTM dapat menerbitkan program yang berkualiti sesuai dengan bayaran tinggi yang dibuat kepada mereka," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram