KEPUTUSAN untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada musim tengkujuh disifatkan sebagai satu langkah tidak adil buat rakyat.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Seri Annuar Musa, pilihan raya pada musim tengkujuh seakan tidak membenarkan rakyat untuk menggunakan hak mereka.
Katanya, sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, kerajaan seharusnya membenarkan rakyat untuk keluar mengundi dengan selamat.
"Sekiranya dilakukan pada waktu banjir, orang ramai mestilah hendak menyelamatkan nyawa, harta dan rumah. Pengangkutan juga payah dan mungkin akan menyukarkan mereka untuk bergerak ke mana-mana.
"Jadi adakah perkara ini mencerminkan kerajaan demoktrasi berparlimen? Saya tanyakan kepada awak semula, adakah kita patut buat pilihan raya ketika musim tengkujuh?" jelasnya ketika ditanya media mengenai perkara itu selepas Majlis Pelancaran Runut Bunyi Filem Seratus di Putrajaya pada Isnin.
Annuar Musa menganggap nyawa dan keselamatan rakyat perlu diutamakan pada musim tengkujuh.
Mengulas lanjut, Annuar turut meluahkan rasa bimbang sekiranya PRU tetap diadakan dalam keadaan begitu akan menjejaskan jumlah pengundi.
"Orang yang keluar mengundi akan menurun dan ini tidak baik untuk pembentukan kerajaan," tambahnya.
Dalam pada itu, Annuar turut memberi reaksi terhadap kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sanggup meredah banjir untuk mengadakan PRU15 pada tahun ini.
Untuk rekod, kenyataan Ahmad Zahid kemudian mengundang kritikan daripada beberapa pihak yang menganggap ia sebagai mementingkan diri.
Bagaimanapun Annuar mengatakan perkara adalah kenyataan bersifat peribadi yang berkemungkinan sudah disalah ertikan.
"Pada pandangan saya beliau maksudkan tentang kesediaan jentera (parti) yang berada dalam tahap bersedia berdepan dengan sebarang kemungkinan termasuk banjir," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram