GARA-GARA buat kecoh dan berlaku biadab di hadapan keranda mendiang Ratu Elizabeth II semasa majlis memberi penghormatan terakhir, seorang lelaki dicekup dan didakwa polis.
Seorang lelaki didakwa membuat kecoh semasa majlis berkabung kemangkatan Ratu Elizabeth II dengan keluar barisan dan meluru ke arah keranda mendiang dalam kejadian di Westminster Hall, London, England baru-baru ini.
Menurut kenyataan Scotland Yard seperti yang dilapor Mirror, tindakan lelaki berusia 28 tahun dari Barleycorn Way, London, England itu dipercayai tidak beradab serta menyebabkan gangguan kepada orang awam.
“Tertuduh didakwa polis tempatan dengan kesalahan di bawah Seksyen 4A Akta Ketenteraman Awam tingkah laku yang bertujuan menyebabkan gangguan atau kesusahan.
“Dia akan hadir di Mahkamah Majistret Westminster, England pada 19 September,” kata kenyataan tersebut.
Ketika kejadian, kira-kira pukul 10 malam, kekacauan itu berlaku, majlis berkabung di dalam dewan berkenaan terhenti seketika untuk tempoh singkat.
Merujuk laporan Daily Mail, suspek ketika itu keluar dari barisan secara tiba-tiba sebelum meluru ke arah keranda mendiang yang sedang diusung oleh pegawai majlis kemangkatan Istana Westminster, England.
Difahamkan, suspek melakukan kekacauan itu selepas menunggu hampir 14 jam di barisan untuk memberi penghormatan terakhirnya kepada mendiang.
Suspek merupakan individu kedua yang didakwa melakukan kesalahan semasa dalam barisan untuk melihat keranda mendiang.
Sebelum ini, seorang individu turut didakwa melakukan jenayah hampir sama dengan menolak orang yang berkabung ketika mereka menunggu dalam barisan di Victoria Tower Gardens, England pada Rabu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram