Mujur tak dilanggar kereta, budak lelaki istimewa berlari-lari di tengah jalan di Skudai


  • Tular
  • Ahad, 18 Sep 2022

Menurut NorAziha, kanak-kanak tersebut berkemungkinan kanak-kanak istimewa kerana dia tidak boleh bercakap.

SEORANG wanita meminta pertolongan orang ramai untuk mencari waris seorang kanak-kanak lelaki yang ditemui berhampiran kawasan LION MAS, Skudai, Johor Darul Takzim.

Kejadian itu melibatkan budak dalam lingkungan enam tahun itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 5 petang, Ahad.

Wanita tersebut yang dikenali NorAziha MdNoh menerusi Facebooknya memaklumkan budak lelaki itu ketika ditemui berada di tengah-tengah jalan dalam keadaan sedang berlari dan hampir dilanggar kereta.

"Assalammualaikum, boleh tak share video ini.

"Kami jumpa adik ini dekat tengah-tengah jalan sedang berlari berdekatan berhadapan Lion Mas, Skudai.

"Jalan menuju ke Plaza Tasek dan dia hampir-hampir dilanggar kereta.

"Tolong kongsikan video ini untuk bantu ibu bapanya," tulisnya.

Menurut NorAziha lagi, kanak-kanak tersebut berkemungkinan kanak-kanak istimewa kerana dia tidak boleh bercakap.

"Kemungkinan adik ini special. Jadi, kami sudah hantar adik ini ke Balai Polis Taman Tun Aminah, Skudai.

"Minta jasa baik korang untuk share. Semoga sampai info ke ibu bapa adik tersebut," tulisnya lagi.

Pada masa sama, NorAziha turut berkongsi beberapa rakaman video yang memaparkan muka kanak-kanak itu.

Dia dan juga seorang lelaki turut dilihat cuba berkomunikasi dengan budak tersebut namun kanak-kanak lelaki tersebut dilihat tidak tidak memberikan respons.

Dalam perkembangan terkini, NorAziha memaklum kepada Majoriti, budak lelaki tersebut sudah berjaya diserahkan kepada keluarganya.

Katanya, ibu kanak-kanak tersebut sudah menghubungi dirinya untuk memaklumkan perkara itu.

"Saya berasa lega dan bersyukur budak lelaki itu dapat bersatu semula dengan keluarganya," katanya ketika dihubungi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram