Kolam pancing dituba, pemilik kerugian lebih RM60,000


  • Tular
  • Khamis, 15 Sep 2022

Ikan mati (kiri) dipercayai diracun pada Rabu menyebabkan ibu pemilik (kanan) hiba. — Facebook

PENGUSAHA kolam pancing air tawar, Kolam Pancing Tok KING Empire yang terletak di Kuala Lipis, Pahang terpaksa menanggung kerugian melebihi RM60,000 apabila ikan di dalam kolam dipercayai diracun pada Rabu.

Lebih memeritkan lagi, kolam yang sudah diusahakan selama dua tahun menempatkan pelbagai jenis spesies ikan dari dalam dan luar negara seperti ikan Patin Mekong, Rohu, Ikan Merah dan sebagainya itu terpaksa ditutup kepada orang ramai buat sementara waktu.

Menurut penyelianya, Raja Nor Tzmie Alif, 24, kejadian itu disedari berlaku pada waktu pagi, yang mana keluarganya mendapati kebanyakan ikan tiba-tiba terapung dan mati.

"Kolam ini diusahakan oleh keluarga saya terutamanya abang dan ini merupakan kali pertama kejadian seumpama ini berlaku.

"Saya berasa agak terkilan kerana kolam ini adalah hasil usaha keras keluarga saya dan bila saya melihat ibu saya menangis saya merasa sayu," katanya kepada Majoriti.

Jelas Alif lagi, pihaknya sudah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Lipis.

“Saya mengesyaki sesuatu yang pelik berlaku seperti perbuatan khianat yang menyebabkan ikan ini mati seperti terkena racun.

"Buat masa ini saya menyerahkan siasatan lanjut kepada pihak polis.

"Adat berniaga hampir dua tahun beroperasi kami sekeluarga hanya mampu mengalirkan air mata melihat bangkai-bangkai ikan dan mungkin rezeki kami sekeluaga sampai di sini," katanya dalam nada yang sebak.

Alif turut berkongsi kisah duka itu di halaman Facebook Kolam Pancing Tok KING Empire dan berharap agar ada pihak berkuasa yang sudi membantu keluarganya.

Belum ada kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram