Padah buat jahat, penyangak tergamak tinggalkan motor demi kasut RM300


  • Tular
  • Ahad, 18 Sep 2022

Mungkin kerana terlalu panik dikejar, si pencuri berlari meninggalkan motosikal berwarna biru yang diparkirnya di tingkat bawah pangsapuri berkenaan.

TINDAKAN seorang lelaki mencuri kasut di sebuah pangsapuri akhirnya membawa padah setelah motosikal yang digunakannya ditinggalkan di kawasan premis itu baru-baru ini.

Perbuatan lelaki tersebut dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) melalui dua video berbeza yang dimuat naik di akaun TikTok @ramdanbrochannel.

Difahamkan kejadian tersebut berlaku di Pelabuhan Klang, Selangor.

Menerusi salah satu rakaman video itu, lelaki berbaju merah tersebut dilihat menunggang sebuah motosikal sebelum meletakkan kenderaan itu di tingkat bawah pangsapuri berkenaan.

Tanpa menanggalkan helmet, lelaki itu kemudian menaiki tangga dan menghampiri sebuah unit kediaman yang terletak berdekatan laluan tangga itu.

Dia dilihat berjalan mundar-mandir di hadapan rumah itu bagi memastikan tiada orang di sekeliling.

Lelaki tersebut kemudian membuka pintu pagar yang tidak berkunci itu selepas dilihat berpura-pura turun tangga sebelum menjenguk semula ke arah pintu yang sudah terbuka tadi.

Selepas yakin tiada orang di pintu tersebut, dia segera mengambil sepasang kasut yang ditinggalkan di rak sebelum cepat-cepat berlari menuruni anak tangga.

Begitupun, penghuni rumah yang menyedari kejadian itu sempat mengejar lelaki terbabit hingga ke aras bawah pangsapuri.

Mungkin kerana terlalu panik dikejar, si pencuri cabut lari dan meninggalkan motosikal berwarna biru yang diparkirnya disitu.

Menjengah ke ruangan komen, @ramdanbrochannel berkata, barang yang dicuri adalah sepasang sandal yang berharga RM300.

"Pencuri dapat kasut, pemilik kasut dapat motor pencuri," tulis Nora.

@heiiadam pula meninggalkan komen, "Dia dah lama aim ke rumah tu? Macam tau-tau saja."

@yong_Yoi juga berpendapat seolah-olah pencuri itu sudah lama menyasarkan rumah tersebut untuk kegiatan jenayahnya.

"Nampak gayanya macam dah lama dia nak curi kasut tu tapi baru kali ini kesampaian," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Pencuri Kasut, Port Klang, CCTV, Motosikal, Panik,