TARIKH Pilihan Raya Umum (PRU) belum lagi ditentukan tetapi Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan dia dan jentera parti sanggup merendah banjir jika PRU15 diadakan tahun ini.
Perkara itu ibarat satu tanda awal yang PRU akan diadakan pada menjelang hujung tahun dan perkara itu merisaukan ramai pihak apatah lagi hujung tahun ini dijangkakan akan berlaku banjir besar.
Isyarat awal yang diberikan Ahmad Zahid berkenaan tarikh PRU15 itu juga membuatkan pihak tertentu tidak puas hati kerana banjir adalah satu isu besar melibatkan rakyat.
Namun, penganalisis politik yang juga pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar beranggapan PRU15 perlu diadakan walaupun negara dijangka berdepan bencana alam.
SPR perlu bertanggungjawab jika banjir melanda
Menurut Rusdi, jika benar berlakunya banjir, maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bersedia lebih awal untuk memikirkan cara terbaik mengatasi perkara tersebut.
"Sudah ada jangkaan yang negara akan dilanda banjir dan SPR kena peka serta sediakan prosedur operasi standard (SOP) khas jika PRU 15 diadakan ketika banjir.
"Mesti ada langkah wajib dari SPR untuk tangani perkara itu termasuk melibatkan negeri-negeri yang dijangka berdepan masalah untuk mengundi jika banjir," katanya.
Kerajaan perlu sediakan penyelesaian
Selain itu kata Rusdi, kerajaan juga perlu fikirkan kaedah terbaik jika mahu mengadakan PRU15 ketika banjir melanda negara.
"Sekarang ini kerajaan dan pembangkang perlu fikir cara terbaik untuk PRU15 diadakan sebab bencana alam sebenarnya bukan banjir sahaja.
"Jadi kalau asyik beri alasan, sampai bila PRU nak diadakan? Sebab itu kena fikir cara penyelesaian untuk selesaikan dan beri keselesaan kepada rakyat menjalankan tanggungjawab memilih kerajaan baharu," katanya.
Jangan jadikan banjir satu alasan
Dalam pada itu, Rusdi menganggap faktor banjir seperti dijadikan satu alasan untuk tidak mengadakan PRU 15.
"Apa yang berlaku sekarang ialah banjir seperti dijadikan alasan pihak tertentu untuk melindungi kuasa yang mereka ada.
"Sedangkan masalah politik negara perlu diselesaikan segera kerana kerajaan yang ada sekarang tidak cukup stabil," katanya.
Jelasnya, jangan nafikan hak rakyat untuk memilih kerajaan dengan menggunakan alasan banjir.
PRU untuk selesai konflik politik negara demi kesejahteraan rakyat
Jelas Rusdi lagi, dia melihat keperluan PRU 15 diadakan disebabkan ketidakstabilan politik negara yang akhirnya menyusahkan rakyat.
"Bila politik dan kerajaan tidak stabil, perkara itu akan memberi kesan kepada ekonomi dan sosial rakyat.
"Kerajaan yang ada sekarang dibentuk bukan melalui PRU, tetapi menerusi 'langkah sheraton' dan itu yang menyebabkan politik dalam negara tak stabil.
Tambahnya, bila politik tidak stabil, perkara itu memberi kesan kepada masalah ekonomi yang akhirnya menimbulkan banyak masalah termasuk taraf hidup rakyat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram