MACAM pusat pelupusan sampah. Itu antara luahan pengguna laman sosial apabila melihat keadaan sebatang sungai di Johor yang dipenuhi sampah serta sisa kayu.
Menerusi satu video berdurasi dua minit 50 saat yang dikongsikan Aku Budak Kluang di Facebook, kejadian itu didakwa dirakam di Sungai Sembrong, Johor.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku selepas hujan lebat membadai kawasan itu beberapa hari lalu sehingga ada kawasan yang ditenggelami banjir.
Berdasarkan rakaman tersebut, kelihatan sisa sampah seperti plastik, botol, sisa kayu dan pelbagai barangan lain memenuhi sungai berkenaan.
Lebih menyedihkan, terdapat puluhan bangkai ikan mati dikesan akibat daripada pencemaran di sungai terbabit.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan tarikh sebenar video berkenaan diambil.
Menerusi tinjaun Majoriti di ruangan komen, rata-rata orang ramai berasa sedih dengan kejadian itu kerana ia berlaku akibat tindakan manusia tidak bertanggungjawab membuang sampah dan mereka mahu pihak berkuasa mengambil tindakan segera.
“Dah macam rumah sampah, ini yang terjadi kesan manusia tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata sehingga sungai menjadi mangsa,” tulis Mustakim Roslan.
“Cuba tanya penduduk yang tinggal dekat dengan sungai itu, sistem pembuangan sampah mereka macam mana?,” luah Azman Roslan
“Selagi ada manusia yang tidak bertanggungjawab buang sampah merata-rata, masalah pencemaran sungai tak akan dapat diatasi sampai bila-bila,”luah Nor AkmaZaki.
"Ini betul-betul teruk, malu dekat orang luar datang negara kita tengok sungai penuh dengan sampah," jelas Habib Ros.
Tiada sebarang kenyataan pihak berkuasa berhubung kes itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram