ANAK-ANAK merupakan anugerah tuhan yang amat berharga kepada setiap pasangan suami isteri dan adanya mereka bertambahlah rezeki kepada setiap pasangan yang sudah berkahwin.
Namun, sekarang kita mendengar pelbagai kes penderaan kanak-kanak berlaku dalam negara yang semakin berleluasa sebagaimana disiarkan dalam akhbar dan berita di televisyen.
Mereka yang mendera ini boleh disifatkan tidak berhati perut kerana ada antara mereka ialah ibu bapa kandung kepada mangsa.
Baru-baru ini tular satu video dipercayai seorang ibu sanggup memukul anaknya menggunakan sebuah meja sehingga menerima kecaman ramai di media sosial.
Video tersebut dimuat naik oleh @imeautopar77 dalam TikTok berserta kapsyen yang menerangkan cerita di sebalik kejadian dan dipercayai pengguna tersebut adalah ayah kandung mangsa.
"Ini anak saya Muhammad Daniel Putra, anak saya dibawa lari ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bekas isteri bawa lari anak saya tanpa izin, penderaan berlaku tahun ini dan perkongsian itu dari kekasih bekas isteri.
"Anak saya dipukul dengan meja, laporan polis saya buat tapi rasa kecewa. Saya buat laporan hari yang sama berita ini saya dapat tahu dari pukul 9 malam hingga 3 pagi tutup sahaja kedai terus buat report takut anak saya jadi apa-apa," katanya di ruangan kapsyen tanpa menjelaskan tarikh laporan itu dibuat.
Namun, dia bertindak untuk menarik semula laporan disebabkan lama menunggu maklum balas dari pihak polis serta sempat berkongsi kisah pernah menjadi mangsa penderaan bekas isterinya itu.
"Kerana lama disidai menunggu laporan saya putus asa dan menarik semula laporan yang dibuat, saya akur dan kecewa jika anda seorang bapa melihat anak anda di dera oleh manusia macam ni apa anda rasa?
"Saya sertakan laporan awal sebab saya juga pernah jadi mangsa keganasan rumah tangga dan bukti masih ada, kerana lelaki lain nak bawa dia keluar pukul 1 pagi, saya larang, dia baling kunci dekat kepala saya terus memancut darah di kepala," jelasnya.
Berdasarkan video berdurasi 22 saat itu, kelihatan anaknya terbaring menangis sambil dipukul sebelum bekas isterinya bertindak menghempas kanak-kanak itu dengan meja kayu.
Tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata orang ramai mengecam tindakan wanita itu dan ada juga menasihati ayah kepada kanak-kanak itu membuat laporan polis semula.
"Tolong jangan tarik laporan polis itu, telefon dan buat aduan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," kata Natasha Chong.
"Allahuakhbar, tergamaknya dia buat macam itu dekat budak kecil, semoga adik ini selamat dan dipermudahkn balik kepangkuan asalnya," jelas Anhazrahhh.
"Bukti ini ada buat hak penjagaan anak pada awak, sebab mendatangkan kecederaan, sertakan laporan polis dan laporan doktor," ujar Dauz_2911.
Tiada sebarang kenyataan pihak berkuasa berhubung kes itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram