Gaduh ala 'fighter', 6 kena cekup polis di Kuching


  • Tular
  • Isnin, 12 Sep 2022

Tangkap layar kejadian pergaduhan sekumpulan lelaki di Kuching, Sarawak yang tular sejak Isnin.

TULAR di aplikasi WhatsApp sejak Isnin satu klip video kejadian pergaduhan sekumpulan lelaki di Kuching, Sarawak.

Rakaman video berdurasi 16 saat itu menunjukkan aksi samseng sekumpulan lelaki bergaduh dengan menggunakan senjata kayu dan tali pinggang.

Difahamkan, pergaduhan itu tercetus di antara dua kumpulan lelaki yang tidak berpuas hati antara satu sama lain.

"Kuching Fighter," tulis kapsyen dalam video tersebut.

Kejadian itu dipercayai berlaku di Jalan Wayang melibatkan dua kumpulan lelaki.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa, enam lelaki diberkas bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan dan kesemua yang ditahan merupakan warganegara tempatan yang berusia antara 25 hingga 57 tahun.

Katanya, punca kejadian itu berlaku disebabkan daripada daripada salah faham semasa berhibur di salah sebuah premis berhampiran.

"Satu kertas siasatan telah dibuka dan disiasat dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan media.

Pada masa sama, Merbin turut mengingatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebar maklumat tidak sahih kerana ia akan menganggu siasatan yang dijalankan.

"Pihak polis turut mengalu-alukan orang ramai untuk menyalurkan maklumat terus kepada Pusat Kawalan IPD Kuching ditalian 082244444 atau mana-mana Balai Polis berhampiran bagi membantu siasatan,"katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram