Terus amalkan pakai 'mask' demi lindungi kanak-kanak belum vaksin


  • Sihat
  • Ahad, 11 Sep 2022

Meskipun pemakaian pelitup muka kini adalah pilihan, namun terdapat beberapa situasi yang pemakaiannya masih diwajibkan. — Gambar hiasan

SEBELUM ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Khamis mengumumkan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup tidak lagi diwajibkan.

Keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian semasa Kementerian Kesihatan (KKM) dan pemakaian pelitup muka dalam bangunan dan kawasan tertutup kini adalah atas pilihan sendiri.

Menurut Khairy, meskipun pemakaian pelitup muka kini adalah pilihan namun terdapat beberapa situasi yang pemakaiannya masih diwajibkan.

"Pemakaian pelitup muka masih diwajibkan sekiranya positif Covid-19, ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, kapal terbang serta bas, van pekerja dan van sekolah.

"Individu bergejala seperti demam, batuk, selsema dan berisiko tinggi seperti warga tua, orang dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah dan ibu mengandung digalakkan terus memakai pelitup muka," katanya dalam satu sidang media khas baru-baru ini.

41595678609_TBMalinaOsman

Dr Malina berkata, sebahagian besar masyarakat awam sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Mengulas perkembangan itu, Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berpendapat pemakaian pelitup muka di tempat tertutup tidak lagi diwajibkan kerana penularan Covid-19 dilihat sudah berada di tahap yang rendah.

Ini kerana katanya, sebahagian besar masyarakat awam sudah menerima suntikan vaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan pada 1 Februari 2021.

Malah sebahagian besar masyarakat turut menerima suntikan dos penggalak selepas pemberian dua suntikan primer yang membentuk imuniti kelompok dalam kalangan rakyat di negara ini.

"Pada masa sama, jika diperhatikan tiada ancaman kluster atau gelombang baharu berlaku sejak empat hingga ke lima bulan yang lalu walaupun banyak perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) berlaku sepanjang tempoh tersebut," katanya kepada Majoriti.

vaccine

Pengambilan vaksin adalah salah satu cara untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 yang lebih teruk.

Walaupun begitu, Dr Malina masih menggalakkan orang awam yang belum menerima suntikan vaksin untuk berbuat demikian bagi melindungi golongan berisiko tinggi dan kanak-kanak.

Katanya, selain daripada memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan diri dengan mencuci tangan secara kerap, pengambilan vaksin adalah salah satu cara untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 yang lebih teruk.

"Semua yang belum ambil vaksin primer atau belum lengkapkan dos penggalak perlu mengambilnya.

"Penjagaan kebersihan tangan serta ambil berat kesihatan diri juga perlu diteruskan seperti biasa," jelasnya lagi.

Menurut Dr Malina lagi, masyarakat sekeliling haruslah menjadi individu yang bertanggungjawab dan berdisiplin mengikuti SOP yang telah ditetapkan.

"Saya juga ingin menyarankan bagi ibu bapa yang belum mengambil vaksin untuk anak mereka segera berbuat demikian.

"Ini adalah kerana liputan vaksin dalam kalangan kanak-kanak yang berusian 12 tahun ke bawah (sekolah rendah) masih rendah iaitu sebanyak 43.1 peratus.

"Perlu ambil vaksin seperti yang disyorkan oleh KKM kerana SOP yang diamalkan sebelum vaksin tidak membantu sepenuhnya untuk mengelakkan kanak-kanak itu terkena daripada jangkitan yang serius," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram