PENYANYI dan pelakon era 80-an, Aman Shah yang berusia 68 tahun dilaporkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), pada Rabu.
Pemergian Allahyarham Aman Shah atau nama sebenarnya Aman Shah Abu Kassim kira-kira pukul 1.30 petang itu disahkan Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air, Datuk DJ Dave.
"Saya baru bercakap dengan adik arwah, Nasir yang kini berada di Jakarta, Indonesia. Dia juga sudah memaklumkan perkara sama.
"Allahyarham meninggal dunia akibat sakit jantung," katanya mengenai penyanyi dan pelakon kelahiran Johor Bahru itu kepada Majoriti.
Menurut DJ Dave, sebulan yang lalu memang Allahyarham ada berhubung dengannya untuk meminta sedikit bantuan bagi rawatan jantung.
Jelasnya, bantuan ada diberikan seperti mana yang diminta oleh Allahyarham yang terkenal dengan lagu Asmara Terkenang, Kepulangan Yang Dinanti dan Musim Cinta itu.
"Adik Allahyarham juga ada maklumkan yang arwah tidak mahu menghebahkan berita dia masuk hospital.
"Saya cuma tahu yang Allahyarham masuk ke IJN pada Ahad lalu dan itu pun selepas dimaklumkan oleh rakan, Fauzi Marzuki," katanya.
Untuk rekod, Allahyarham sebelum ini pernah mendapatkan rawatan sakit jantung pada tahun lalu sebelum dilaporkan stabil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram