Pekerja aksesori kereta kena cekup, disyaki curi rantai emas di Taman Sri Muda


  • 112
  • Rabu, 14 Sep 2022

Seorang lelaki dipercayai mencuri dua utas rantai emas di sebuah kedai.

SEORANG lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes kecurian rantai emas di sebuah kedai barangan kemas di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor.

Menurut Ketua Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita berbangsa Cina yang memaklumkan orang awam berjaya menangkap suspek dipercayai mencuri di Kedai Emas Yee Lam.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek seorang lelaki Cina berumur 34 tahun, bekerja di kedai aksesori kereta, manakala pengadu merupakan jurujual di kedai emas berkenaan.

Rakaman seorang lelaki ditahan polis kerana dipercayai mencuri dua utas rantai emas.

"Suspek telah berjaya ditangkap dengan bantuan orang awam. Barang kemas yang dicuri merupakan dua utas rantai yang berharga lebih kurang RM1,500," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Iqbal memberi kenyataan mengenai video tular yang menunjukkan seorang lelaki ditahan polis sambil diperhatikan oleh orang awam di hadapan pasar raya Mydin.

Suspek kini ditahan reman selama tiga hari mulai 14 sehingga 16 September untuk siasatan lanjut. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram