Isu pokok tumpang: Saya boleh bantu... tapi akan 'claim' kos pada DBKL — MP Batu


  • Massa
  • Rabu, 14 Sep 2022

Antara 'pokok tumpang' yang sudah tumbuh setinggi bangunan dua tingkat di Flat Sri Perak, Sentul.

ISU 'pokok tumpang' yang tumbuh setinggi dua tingkat di celah struktur bangunan Blok 29, Flat Sri Perak, Sentul, Kuala Lumpur masih menghantui penduduk sejak sekian lama.

Kerisauan juga makin memuncak apabila 'pokok tumpang' mula memberi kesan terhadap struktur bangunan sehinggakan menimbulkan keretakan dan mengakibatkan besi penghadang reput.

WhatsApp Image 2022-09-14 at 2.27.58 PM

Prabakaran sudah membuat banyak aduan kepada DBKL berkaitan masalah penduduk di Flat Sri Perak.

Majoriti bertemu dengan Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran yang turut mengakui aduan sudah membuat banyak aduan berkenaan perkara itu sebelum ini.

"Sudah banyak kali aduan dibuat. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih tidak memberi respons. Kita pun tidak mahu bermasam muka dengan mana-mana pihak.

"Bagi saya isu ini tidaklah terlalu besar dan boleh diselesaikan lebih awal. Pejabat Kecil Perumahan DBKL Zon 3 memang dekat Flat Sri Perak. Mereka tak nampak ke apa yang berlaku?" katanya kepada Majoriti.

Menurut Prabakaran, buat masa ini apa yang boleh dilakukannya adalah untuk bertemu dengan DBKL untuk mengambil tindakan selanjutnya.

WhatsApp Image 2022-09-14 at 2.29.19 PM

Ada 'pokok tumpang' yang sudah menjalar hingga merosakkan struktur rumah.

Jelasnya, jika tiada tindakan lanjut, dia sendiri akan mengeluarkan peruntukan dan cuba menyelesaikan masalah tersebut.

"Isu pokok ini adalah isu asas yang sepatutnya diselesaikan DBKL apatah lagi perkara ini memang di bawah seliaan mereka.

"Saya kalau boleh masalah ini diselesaikan serta-merta tetapi kalau tidak boleh juga, saya sendiri cuba selesaikan.

"Cuma, segala kos yang digunakan untuk membuang semua 'pokok tumpang' itu saya akan claim dengan dengan Datuk Bandar," tegasnya lagi.

WhatsApp Image 2022-09-14 at 2.28.59 PM

Struktur rumah yang mula rosak akibat 'pokok tumpang'.

Terdahulu, Majoriti melaporkan kerisauan penduduk berkaitan isu 'pokok tumpang' yang banyak sehingga mendatangkan kerosakan kepada struktur rumah.

Batu dan struktur penghadang di rumah berkenaan juga sudah mula reput akibat 'pokok tumpang' sehinggakan merisaukan penduduk khususnya mereka yang mempunyai anak kecil.

Penduduk sebelum ini memberitahu, antara alasan yang diberikan DBKL untuk tidak membuang pokok tersebut adalah kerana kesukaran lori seliaannya untuk masuk ke kawasan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram