Tandas kotor bukan alasan pelajar lewatkan sarapan pagi


  • Massa
  • Selasa, 13 Sep 2022

Aktivis berpendapat, tandas kotor bukan punca utama pelajar melewatkan sarapan pagi. — Gambar hiasan

MENJADIKAN keadaan tandas kotor sebagai alasan pelajar sengaja melewatkan sarapan pagi dianggap satu kenyataan tidak adil.

Menurut aktivis masyarakat, Mohd Fadhli Othman, perkara itu dilihat sebagai andaian semata-mata.

Katanya, kajian terperinci perlu dilakukan untuk mengetahui data sebenar pelajar yang lewat sarapan kerana dipengaruhi oleh keadaan tandas kotor.

"Adakah 'pelajar' yang dimaksudkan itu pelajar bandar, luar bandar, asrama, harian atau pendidikan khas?

"Berdasarkan pengalaman, setiap tubuh badan itu mempunyai tindak belas berbeza lebih-lebih lagi selepas sarapan pagi.

"Sedangkan individu dewasa juga kadangkala akan ke tandas untuk melepaskan 'hajat' lebih-lebih lagi selepas mengambil makanan tenusu," katanya kepada Majoriti.

Untitled design (1)

Kekurangan kakitangan dipercayai antara penyebabkan kebanyakan tandas sekolah kotor.

Mohd Fadhli memberi reaksi tersebut berdasarkan kenyataan Menteri Pendidikan, Radzi Jidin yang mengatakan pelajar makan selepas pulang ke rumah kerana enggan menggunakan tandas sekolah kerana kotor.

Mengulas lanjut, Mohd Fadhli meminta agar pihak Kementerian Pendidikan (KPM) menjalankan siasatan secara menyeluruh di semua sekolah termasuk vernakular.

"Kita perlu tahu pelajar itu sekolah menengah atau sekolah rendah.

"Disebabkan itu, mantan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik sebelum ini mengadakan konsep sarapan di sekolah bagi memudahkan pelajar.

"Mungkin ada pelajar yang tidak sempat bersarapan di rumah kerana mahu mengejar masa atau tidak terlalu lapar pada waktu pagi," ujarnya.

Pada masa sama, Mohd Fadhli mengharapkan agar KPM turun padang melihat keadaan tandas sekolah bandar dan luar bandar.

indoor-hotel-view (1)

Sebelum ini Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon memberitahu sesetengah sekolah tidak mempunyai walaupun seorang tukang bersih.

"Sesetengah sekolah memang benar ada tandas yang tidak diselenggarakan dengan baik seperti pintu rosak, tiada pintu, tiada getah paip, tiada kepala paip atau kegagalan pam tandas.

"Sekolah juga perlu mengeluarkan belanja sendiri untuk mencantikkan tandas dan kos itu semua ditanggung oleh pihak sekolah.

"Kita sebagai golongan dewasa juga agak cerewet dengan kebersihan tandas, ini pula kanak-kanak.

"Kita seharusnya membudayakan adat yang mengatakan jika ingin tahu kebersihan penghuni rumah, lihat keadaan tandasnya. Jadi mengapa kita tidak boleh mempraktikan perkara itu," terangnya.

Pada Mei lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon dilaporkan menerima aduan sekolah bahawa kontraktor gagal menyediakan tukang bersih.

Sesetengah sekolah tidak mempunyai walaupun seorang tukang bersih sehingga para guru dan murid perlu membantu dalam kerja pembersihan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram