Polis buru lelaki 'skodeng' guru wanita dalam tandas di Shah Alam


  • 112
  • Rabu, 07 Sep 2022

Tangkap layar rakaman CCTV yang memaparkan suspek sedang berlegar-legar di hadapan tandas.

POLIS sedang mengesan seorang lelaki didakwa mengintai seorang guru wanita di tandas Kompleks Sukan Negara Shah Alam, Seksyen 21, Selangor pada 15 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 32 tahun pada hari sama.

"Perbuatan suspek turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan tular menerusi media sosial yang menunjukkan dia masuk ke tandas wanita di kompleks sukan terbabit.

"Pada hari kejadian, guru tersebut membawa pelajar ke kompleks itu untuk latihan perbarisan sambutan Hari Kebangsaan dan semasa wanita itu berada dalam tandas, didapati seorang lelaki sedang mengintai dari bilik tandas sebelah.

"Suspek kemudian melarikan diri sejurus mendengar jeritan pengadu (guru) dan pengadu menceritakan dia hanya sempat melihat paras kepala hingga mata suspek sahaja,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

"Siasatan sedang dilakukan untuk mendapatkan rakaman CCTV di lain-lain lokasi berhampiran dan sebarang maklumat lanjut berhubung kes ini boleh disalurkan ke talian 016-2745515," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram