Kecoh rebut parkir, pelajar universiti tunjuk jari tengah kena tengking


  • Tular
  • Sabtu, 10 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan pergaduhan berlaku antara orang awam dan pelajar di ruangan parkir berhampiran sebuah universiti swasta di Shah Alam.

ISU berebut parkir masih meruncing dalam kalangan masyarakat hari ini apabila sesetengah masyarakat bersikap mementingkan diri sendiri sehingga hilang rasa hormat terhadap orang lain.

Situasi itu boleh digambarkan menerusi rakaman video tular di laman TikTok yang memaparkan pergaduhan antara dua orang lelaki di kawasan parkir berhampiran sebuah universiti swasta di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Salah seorang daripadanya dipercayai merupakan pelajar universiti, manakala pergaduhan tersebut dikatakan terjadi sebaik kedua-duanya terlibat dalam isu perebutan parkir.

Difahamkan, pergaduhan tercetus apabila pelajar tersebut menunjukkan isyarat lucah kepada lelaki itu selepas ruangan parkirnya dirampas.

Bengang dengan tindakan tersebut, lelaki berbaju hitam itu kemudiannya mula bertindak kasar dengan menjerit dan menengking pelajar terbabit berikutan perbuatannya yang dianggap biadab.

Meskipun beberapa kali dimarahi, pelajar itu dilihat enggan mengalah sebaliknya terus melawan dan kemudiannya mengeluarkan telefon bimbit untuk merakamkan kejadian tersebut.

Menerima lebih 800,000 jumlah tontonan, warganet turut memberikan kecaman kepada pelajar tersebut di ruangan komen.

"Jerit kuat-kuat tak dapat apa pun, sebaiknya bagitahu hal sebenar mengaku siapa yang salah dan siapa yang betul, hormat satu sama lain bukannya biadab," kata TimTim.

"Api tak akan membara kalau tiada yang yang petik, mesti ada sesuatu yang terjadi menyebabkan mereka bergaduh dan pelajar tu sepatutnya hormat ketika bercakap dengan yang lebih tua," tambah idanziedan_.

Namun difahamkan, kawasan parkir di situ sememangnya sempit dan terhad apabila kebanyakan ruang dipenuhi kenderaan pelajar dari universiti berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram