AKSI tinju seorang lelaki yang disyaki pegawai unit beruniform menendang dan menumbuk anak buahnya menjadi tular.
Video yang dimuat naik di halaman Facebook Mirza Anaqi itu memaparkan seorang lelaki berbaju biru melayangkan tendangan ke arah seorang pemuda berbaju jingga.
Tendangan itu mengenai kepala mangsa namun dia dilihat tidak melawan dan tetap berada dikedudukannya.
Selepas ditendang, mangsa dilihat turut ditumbuk di perut dan di kepala sehingga mangsa tertolak ke belakang.
"Ini lagi seorang 'starman'.
"Belasah budak yang tidak boleh melawan bolehlah, itupun 'miss'," tulis kapsyen dalam video tersebut.
Difahamkan kejadian itu berlaku di hadapan khalayak ramai.
Sementara itu menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mempersoalkan tindakan lelaki tersebut.
Menurut salah seorang pengguna media sosial Zaidin Yusof, kejadian itu berlaku pada 30 Ogos lalu bertempat di sebuah hotel di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Kuala Lumpur.
Zaidin turut mendakwa, kejadian itu melibatkan kontinjen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat dalam Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-65.
"Di waktu kejadian, pelaku telah menendang dan menampar kedua-dua anggota ini kerana didapati tidak hadir berbaris ketika pembahagian tugasan.
"Dipercayai seorang anggota kontijen yang berada dalam perbarisan telah membuat rakaman pendek dan menyebarkan melalui aplikasi WhatsApp dan seterusnya telah tersebar kepada umum," tulisnya.
"Kawasan terbuka bukan kawasan larangan bergambar, kecuali dalam kem jadi yang merakam tidak salah dan pelaku yang menendang itu salah kerana melakukannya tempat terbuka.
"Memalukan ATM, semoga ATM ambil tindakan yang sewajarnya dengan memberhentikan si pelaku sebelum memudaratkan ATM," kata Halim Hashim.
Belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung kes itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram