Dahaga nafkah batin, isteri tergamak pukul bayi demi perhatian suami


  • Benua
  • Khamis, 08 Sep 2022

Gambar wanita yang ditahan polis kerana memukul anaknya ekoran tak puas hati suami tak beri nafkah batin. — Agensi

SEORANG ibu tergamak merakam video sambil memukul bayinya sendiri sebelum dimuat naik ke media sosial semata-mata kerana tidak mendapat nafkah batin daripada suaminya.

Kejadian itu berlaku di Lampung Utara, Indonesia pada Khamis dan tular di media sosial serta mendapat kecaman warganet.

Menerusi video berdurasi 15 saat itu, wanita yang dikenali dengan nama LPN itu bukan sahaja menampar, tetapi turut mencampak bayinya.

Bayi berusia setahun itu hanya mampu menangis menahan kesakitan ketika menjadi mangsa pukulan ibunya sendiri.

Menurut maklumat, wanita itu berbuat demikian kerana berang dengan suaminya yang enggan memberi nafkah zahir dan batin.

Malah, wanita berusia 24 tahun itu memuat naik video berkenaan dengan tujuan untuk mendapat respons daripada suaminya.

Sementara itu, Ketua Polis Lampung Utara, Eko Rendi Oktama mengesahkan kejadian itu.

"Wanita itu telah ditahan kerana mendera anaknya. Siasatan lanjut berkenaan kes sedang dijalankan," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram