SEORANG anggota polis bukan sahaja terpaksa menanggung malu bahkan mungkin berdepan tindakan disiplin selepas dia ditangkap basah bersekedudukan dengan isteri orang pada Isnin lalu (5 September 2022).
Serbuan dilakukan sendiri oleh suami wanita itu dikenali sebagai HR, 44, yang menangkap isterinya bersama lelaki lain di sebuah rumah tumpangan di Pinrang, Sulawesi Selatan, Indonesia.
Video serbuan itu juga tular di media sosial. Dalam video berdurasi 33 saat itu, suspek dikenali sebagai JS dilihat berlari ke arah kawasan tanah lapang apabila HR dan keluarganya datang menyerbu lokasi berkenaan.
JS yang dipercayai tidak berbaju sempat melarikan diri dan hanya mengenakan kain sarung ketika berbuat demikian.
Dia tidak sempat membawa bersama sebuah beg berisi pakaian seragam polis selain turut meninggalkan sebuah motosikal berwarna merah miliknya.
HR mengesyaki isterinya menjalinkan hubungan sulit dengan anggota polis terbabit yang juga bekas teman lelakinya sebelum mereka mendirikan rumah tangga.
"Dia memberitahu mahu menziarahi kubur saudara di Bone namun setibanya di situ, isteri saya menyuruh anak kami yang ikut sama, pulang semula ke Pinrang.
"Rupanya, dia juga senyap-senyap pulang ke Pinrang dan tinggal di rumah tumpangan bersama lelaki terbabit," katanya.
Pelaku melarikan diri ketika serbuan dan meninggalkan sebuah beg berisi seragam polis. — TikTok
Sebelum ini, adik wanita tersebut pernah ke rumah JS untuk meminta lelaki tersebut supaya tidak mengganggu rumah tangga kakaknya.
“Kakak saya dan JS pernah menjalinkan hubungan ketika kedua-duanya belum berkeluarga," ujarnya.
Ekoran insiden itu, polis menahan dan menyiasat kesemua pihak terlibat termasuk pelaku, kekasihnya dan suami wanita terbabit.
Ketua Polis Pinrang, Moh Roni Mustofa berkata, anggota tersebut akan diberhentikan jika didapati bersalah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram