TIGA anggota polis yang dirakam video mengambil rasuah ketika menahan seorang warga asing sudah dikenakan tindakan.
Namun polis mengesahkan video berdurasi 49 saat itu adalah rakaman pada 2020 yang ditularkan semula kini.
Berdasarkan suara video yang dimuat naik oleh @u2u4_1m4m di laman aplikasi TikTok, dia mendakwa pihak polis terbabit melepaskan warga asing itu pergi selepas menerima wang daripada individu berkenaan.
Difahamkan kejadian berlaku pada 4 Mac 2020 di Jalan Suria Jaya, Batu 9, Kajang, Selangor.
Di ruangan komen, rata-rata orang ramai memberikan pelbagai reaksi tentang kejadian yang berlaku dan ada juga berkongsi pengalaman mereka.
"Saya dulu pernah kena RM1,000, duit dalam dompet cuma ada RM50 kawan pun ada RM 50, akhirnya saya balik rumah pinjam dengan kawan-kawan cukup RM1,000 baru saya dan kawan lepas," luah @Cimeng483.
"Kisah benar, memang salah saya tapi tak disaman, polis tanya berapa ada? Saya jawab RM20 sahaja tuan, dia pun cakap nak RM50! Dalam bank ada? Okay saya ikut, sanggup ikut ke BSN utk RM50," jelas @User3888083841895.
"Sebab itu mereka tak bagi kita rakam semasa penjawat awam menjalankan tugas nanti dia orang tertangkap video viral satu Malaysia," tulis @Bani1542.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian terbabit berlaku pada 4 Mac 2020 membabitkan anggota Balai Polis Batu 9 semasa melakukan tugasan rondaan dan tindakan tatatertib teah diambil terhadap mereka yang terlibat.
"Kejadian berlaku pada pukul 10.09 pagi di tepi jalan Suria Jaya, Taman Suria Jaya, Batu 9 apabila mereka ternampak sebuah motosikal roda tiga yang dinaiki oleh warganegara Myanmar yang membawa besi buruk.
"Anggota bertugas tersebut menahan dan membuat pemeriksaan rutin. Selepas pemeriksaan dijalankan anggota bertugas melepaskan lelaki Myanmar itu dan tidak mengambil apa-apa tindakan," katanya dalam kenyataan pada Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram