Pengurus bengkel buat onar pukul anggota MBJB


  • Tular
  • Khamis, 08 Sep 2022

Mangsa mengalami kecederaan di muka akibat ditumbuk dan lebam di lutut kiri berikutan serangan itu.

TULAR sebuah video memperlihatkan sekumpulan penguatkuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dipukul oleh seorang individu iaitu pengurus sebuah premis di Taman Sri Tebrau, Johor Bharu, Johor.

Kejadian terbabit berlaku ketika pegawai MBJB sedang merampas beberapa barangan daripada premis berkenaan yang mana seorang lelaki kelihatan tidak berpuas hati lalu bertindak untuk memukul mangsa.

Menerusi video berdurasi dua minit 46 saat, selepas kejadian suspek ditenangkan oleh beberapa anggota MBJB yang lain sekali gus diarahkan untuk berhenti daripada menganggu tugas pihak berwajib.

Namun, suspek masih lagi tidak berhenti daripada melakukan provokasi dengan memarahi beberapa anggota berkenaan.

Difahamkan kejadian berlaku pada Jumaat.

Di ruangan komen Facebook, rata-rata orang ramai memberi pelbagai reaksi tentang kejadian yang berlaku dan ada juga mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu itu dengan segera.

"Penguatkuasa tak akan sebarang nak serbu sesebuah premis itu kalau tak bersebab, jangan asyik nak fitnah mereka nak duit sahaja," kata Seembun Salju.

"Kepada semua penjawat awam jangan takut untuk tegakkan keadilan dan menjalankan tugas," jelas Ahmad Sallehen.

"Terbaik penguatkuasa menjalankan tugas tanpa rasuah yang salah tetap salah kena ambil tindakan," ujar Md Nor Fariza.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa berusia 42 tahun membuat laporan polis kira-kira pukul 1.50 pagi pada Ahad.

“Mangsa membuat laporan mendakwa didera secara fizikal ketika menjalankan operasi di sebuah premis di Taman Pelangi di Johor Bahru, Johor.

“Dalam operasi itu, suspek yang bekerja sebagai pengurus di premis itu tidak berpuas hati dengan tindakan MBJB merampas beberapa barangan dari kedai itu sebelum bergaduh dengan penguat kuasa,” katanya pada Selasa.

Menurutnya, polis kemudian menahan suspek di premis itu kira-kira pukul 1.15 tengah hari Isnin.

Siasatan lanjut mendapati premis itu tidak mempunyai lesen untuk beroperasi.

Beliau juga berkata, mangsa mengalami kecederaan di muka akibat ditumbuk dan lebam di lutut kiri berikutan serangan itu.

Raub menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 322 Kanun Keseksaan dan menggesa mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes itu menghubungi talian hotline polis Johor Bahru Selatan di talian 07-218 2323. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram