Pelakon remaja patut tutup aib, elak keselamatan terancam — Idris Ahmad


  • Primer
  • Selasa, 06 Sep 2022

Idris Ahmad berkata, beliau khuatir akan keselamatan pelakon remaja terbabit. — Bernama

PELAKON remaja berusia 15 tahun yang baru-baru ini menjadi tetamu jemputan dalam satu program di YouTube bagi berkongsi tentang kisah hidupnya mendedahkan sikap buruk bapanya sehingga mendapat perhatian ramai.

Perkara tersebut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, apabila beliau khuatir akan keselamatan pelakon remaja terbabit kerana mendedahkan perilaku bapanya.

"Saya lebih khuatir ancaman dan keselamatan gadis ini apabila mendedahkan perilaku ayahnya di umumkan dalam pentas yang terlalu terbuka.

"Kita tidak tahu implikasinya apatah lagi berhadapan dengan keganasan dan kewarasan seseorang manusia yang tidak terjangka.

"Pihak berkuasa terutamanya polis boleh bertindak sewajarnya apabila dibuka kertas siasatan dan boleh membuktikan kebenaran dan kesahihan setiap kesalahan yang dilakukan.

"Apatah lagi kes ini adalah isu yang melibatkan ibu dan bapa kandungnya," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.

Tambahnya lagi, pelakon tersebut sepatutnya menutup aib sendiri dan tidak mendedahkan perkara itu pada umum lagi-lagi melibatkan aib keluarga dan beliau berharap mangsa akan mendapat pembelaan sewajarnya.

"Aib keluarga perlu sangat untuk dijaga kerana usia gadis ini masih muda.

"Banyak lagi perkara yang bakal ditempuh bagi seorang anak muda dan laporan pada pihak berkuasa perlu dibuat agar masa depan insan teraniaya seperti ini mendapat pembelaan sewajarnya.

"Aib dan jenayah adalah dua perkara yang berbeza, tapi terkait antara satu sama lain bila ianya dibacarakan dalam bab undang-undang.

"Mungkin tajuk berita agak sensasi, tapi pastinya Islam memberi ruang penyelesaian yang lebih tuntas," jelasnya.

Terdahulu, polis akan membuat semakan terhadap pendedahan seorang pelakon remaja perempuan melalui video program di YouTube bagi melihat sama ada wujud unsur jenayah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan daripada pelakon remaja tersebut.

"Ya, kita belum menerima sebarang laporan daripada remaja tersebut. Saya sendiri pun belum tengok video temu bual berkenaan.

"Namun begitu, kita akan semak dan teliti video tersebut, jika ada sebarang elemen jenayah kita akan siasat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram