Penduduk kesal parkir kenderaan haram sepanjang jalan Bukit Jalil


Oleh JAROD LIMEVA ONG
  • Massa
  • Isnin, 29 Ogos 2022

Tinjauan kesesakan lalu-lintas yang berlaku di Bukit Jalil gara-gara pemandu meletakkan kenderaan sesuka hati di sepanjang jalan. — AZLINA ABDULLAH/The Star

KENDERAAN yang diletakkan secara haram di sepanjang Persiaran Jalil Utama dan Jalan 13/155c di Bukit Jalil, Kuala Lumpur menimbulkan bahaya kepada pemandu yang menggunakan jalan tersebut.

Kenderaan yang diletakkan secara sembarangan di kedua-dua belah jalan utama ini menduduki satu lorong, menyebabkan kesesakan kepada pengguna jalan raya.

Penduduk Bandar Kinrara, Hiu Chee Keong berkata, kereta itu menghalang lalu lintas, menyebabkan pemandu kurang ruang untuk menggerakkan kenderaan mereka ketika menuju ke jalan utama.

“Saya melalui jalan ini ketika membawa anak perempuan saya ke Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan sering menghadapi kesesakan lalu lintas akibat kenderaan yang diletakkan secara haram.

“Malah ada kereta yang diletakkan di simpang itu dan ia menghalang penglihatan pemandu lain yang ingin membelok, sekali gus menyebabkan tempat itu terdedah kepada kemalangan.

“Pemandu yang ingin membelok terpaksa memasuki lorong paling kanan jalan kerana kenderaan biasanya diletakkan secara haram di lorong kiri,” kata lelaki berusia 52 tahun itu.

Chee Keong berkata, bahawa sesetengah pemandu akan membuat pusingan ke jalan utama, memaksa kenderaan yang masuk untuk menekan brek secara tiba-tiba.

Tambahnya lagi, kereta yang diletakkan di tepi jalan secara haram menghalang pandangan pemandu di kawasan Bukit Jalil.

“Ini boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Kira-kira kenderaan yang diletakkan secara haram di kawasan itu ada dalam 100 buah kereta,” ujarnya.

StarMetro melawat kawasan itu baru-baru ini dan mendapati kenderaan diletakkan di sepanjang Jalan 13/155c sehingga ke pintu masuk jejambat satu lorong ke lebuh raya Bukit Jalil.

Pemandu tidak mempunyai pilihan selain memperlahankan kenderaan semasa menaiki jejambat tersebut kerana kenderaan yang diletakkan secara haram menghalang sebahagian jalan.

Chee Keong berkata, dia sudah membuat aduan berhubung isu ini melalui laman web “adukl” Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 25 Julai.

DBKL dalam jawapannya berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai parkir haram di kawasan itu dan penguatkuasaan sudah dijalankan termasuk mengeluarkan kompaun kepada pesalah trafik.

“Tetapi, saya tidak nampak banyak peningkatan di kawasan itu.

“Saya harap pihak DBKL boleh mengambil tindakan lebih tegas seperti menunda kenderaan yang boleh menyebabkan halangan kepada pemandu lain,” katanya lagi.

Penduduk Pangsapuri Sri Rakyat Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Mohd Shamsul Mohd Razlan, 46, berkata, masalah itu semakin meruncing.

“Dulu kenderaan yang diletakkan di sini lebih sedikit tetapi apabila kawasan itu semakin maju, semakin banyak kereta yang parkir secara haram di sepanjang jalan.

“Dengan kereta ini diletakkan di kawasan tersebut, ia menunggu masa sebelum kemalangan berlaku.

“Kebanyakan pemilik kenderaan sama ada bekerja di kawasan komersial berhampiran atau hanya orang ramai yang mahu mengelak daripada membayar parkir,” katanya.

Ketika dihubungi, DBKL mengakui perkara itu tetapi masih belum memberi maklum balas. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram