SELEPAS dua tahun tidak turun padang menemui pendengar setianya, stesen Suria FM kembali mengadakan siri jelajahnya sepanjang Ogos di seluruh negara dengan kali ini mengangkat tema '90an'.
Pentas 'Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak ELL' memulakan tirainya pada Sabtu di Kuantan City Mall, Kuantan Pahang ikuti Aman Central Alor Setar, Kedah pada 13 Ogos, seterusnya di Paradigm Mall, Johor Bahru pada 20 Ogos dan di IOI Mall 2, Putrajaya pada 27 Ogos.
Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin, jelajah itu adalah sejajar dengan konsep radio Suria FM yang sentiasa memainkan lagu lagu hit 90an selain bertujuan mengembalikan nostalgia lagu yang pernah menjadi fenomena.
"Setelah hampir dua tahun tidak menemui peminat sejak berlakunya pandemik Covid-19 di tanah air, kini Suria FM kembali turun padang untuk menghiburkan pendengar setia sebagai tanda terima kasih di atas sokongan padu yang mereka berikan selama ini," katanya.
Selain dari persembahan hebat dari artis legenda 90an, pentas 'Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak ELL' yang akan bermula pukul 1.45 petang itu juga memberi peluang kepada artis baharu untuk promosikan lagu mereka seperti Farah Rose, Wawa Shazwa dan Ahmad Syafiq.
Penyanyi hebat tanah air yang akan menghiasi jelajah itu ialah Ziana Zain, Ella, Dayang Nurfaizah, Zamani Slam, Amir Uk's dan para artis sensasi yang kian menyinar iaitu Amir Masdi, Nuha Bahrin, Naufal Azrin, Dolla serta Insomniacks.
Barisan penyampai Suria FM bersama artis yang bakal memberi persembahan pada pentas 'Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak ELL' sewaktu ditemui pada sidang media ‘Jelajah 90 Suria’ di Wisma Kak ELL, Seksyen 15 Shah Alam, Selangor.
Malah, pengunjung juga berpeluang beramah mesra dengan penyampai Suria FM yang terdiri daripada Ajak, Suraya Borhan, Feeya Iskandar (Cik Piah), Sharifah Shahira (Rara), Tyzo, Anna Aljuffrey (Anna J) dan DJ Lin.
Tidak melupakan bakat-bakat dari kumpulan busker, jelajah itu turut membawakan aktiviti pentas kepada mereka dengan memberi peluang persembahan pembukaan juga sesi bersama pengasas produk Kak ELL yang turut menawarkan pelbagai hadiah istimewa.
Pengunjung turut berpeluang memenangi sesi cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah istimewa seperti 4 buah motosikal, 4 buah basikal lipat (folding bike).
"Pengunjung juga boleh memenangi pakei percutian yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih dari RM100,000 dengan hanya membeli barangan eksklusif Suria seperti Combo Sejati, Combo Jalan Pulang, Combo Baldu biru dan banyak lagi dengan harga promosi di booth Kedai Suria pada hari Jelajah berlangsung.
"Kami mengharapkan siri 'Jelajah 90 Suria' mendapat sambutan baik daripada semua pihak dan orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan acara. la adalah percuma," akhiri DJ Lin.
Untuk penyokong dan pendengar yang tidak berpeluang menghadirkan diri ke lokasi 'Jelajah 90 Suria', Suria FM akan membuat siaran langsung acara tersebut di radio menerusi frekuensi Suria.
Maklumat lanjut, layari laman web Suria jelajah.suria.my atau ikuti media sosial Suria Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram